Wednesday, October 28, 2009

Gagasan 1 Malaysia Bukan Gimik Politik!


CERIA... Sapawi dan Kamarlin bersama sebahagian tetamu jemputan dan penduduk setempat yang hadir di majlis tersebut.


MESRA...Sapawi dan Kamarlin diiringi oleh Sumih bersalaman dengan hadrin yang hadir di majlis tersebut.

SOKONGAN...Sapawi menandatangai buku kempen 1Malaysia di majlis tersebut.

SERAH...Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin menyampaikan peruntukan anjung bestari RM5 Ribu kepada Pengerusi Komuniti Bestari Kampung Garama Sumih Matrih.

BEAUFORT: Gagasan Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri bukan sebagai satu gimik politik.
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata konsep itu diperkenalkan sebagai usaha untuk memperkukuhkan serta memantapkan lagi persefahaman serta perpaduan rakyat.
“Banyak cabaran yang kita hadapi khususnya apabila ada pihak-pihak tertentu berusaha memecahbelahkan rakyat dengan membangkitkan isu perkauman.
“Gagasan ini merupakan salah satu usaha kita ke arah memperkukuhkan lagi persefahaman dan perpaduan yang sedia ada,” katanya pada program Info Bestari Komuniti Bestari Kampung Garama dekat sini kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Wakil Rakyat Lumadan Kamarlin Ombi, Penolong Pegawai Daerah Beaufort Mohd Shaid Othman, Pegawai Penerangan Beaufort Malina Jamarin dan Pengerusi Komuniti Bestari Kampung Garama Sumih Matrih.
Sapawi berkata Bajet 2010 yang diumumkan baru-baru ini adalah bukti jelas kesungguhan pemimpin mlaksanakan konsep tersebut.
Katanya bajet yang menyentuh seluruh sektor itu meletakkan kepentingan rakyat sebagai asas utama.
Ini menurutnya termasuklah usaha membasmi kemiskinan di bandar dan luar bandar selain berusaha membangun dan mempertingkatkan pendidikan negara.
“Bajet tidak hanya menumpukan kepada pembangunan ekonomi semata-mata tetapi juga terhadap sosial rakyat secara menyeluruh,” katanya lagi.
Mengenai program itu Sapawi berkata ia merupakan langkah jabatan kerajaan dalam memberi penerangan, penjelasan serta berusaha memahamkan rakyat terhadap konsep tersebut.
Katanya dengan adanya penerangan dan penjelasan itu, ia membolehkan rakyat memahami bahawa konsep itu bukan satu gimik politik.

Share |