Wednesday, November 18, 2009

Kerajaan Utamakan Kesihatan


SERAH…Sapawi diperhatikan oleh Dr. Yassin menyerahkan tandas curah kepada wakil penduduk Matrin Payang Ketua Kampung Mentulud.


BEAUFORT: Rakyat negara ini wajar bersyukur kerana memiliki kerajaan yang turut memberi keutamaan kepada kesihatan.
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata kerajaan tidak hanya memberi tumpuan kepada pembangunan fizikal semata-mata tetapi turut memberi keutamaan kepada kesihatan.
“Apa yang dilakukan oleh kerajaan sesungguhnya tidak berlaku di negara lain,” katanya pada majlis penyerahan tandas curah di Kampung Mentulud dekat sini kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pegawai Kesihatan Beaufort Dr. Yassin Kamaruljamal, PegawaiPerhubungan Parlimen kawasan Lumadan Sipitang Amat Talip dan Pengerusi JKKK Kampung Mentulud Sani Moksin.
Sapawi berkata kerajaan tidak mengabaikan soal kesihatan dalam melaksanakan pembangunan dan juga kemajuan.
Ini kerana, katanya, jika pembangunan kesihatan tidak diberi keutamaan segala perancangan atau usaha pembangunan serta kemajuan yang dilaksanakan tidak akan memberi makna.
Seramai 75 isi rumah memperolehi tandas curah yang disumbangkan oleh Kementerian Kesihatan. Sebelum ini kampung tersebut telah dilanda dengan wabak kolera.
Sapawi seterusnya berharap dengan adanya tandas curah itu, penduduk di kampung tersebut akan dapat menjaga kesihatan dengan lebih baik.
“Kemudahan yang diberikan diharap dapat dipergunakan dengan kita memberi perhatian terhadap kesihatan diri, keluarga dan seluruh penduduk kampung,” katanya lagi.
Beliau berkata penduduk yang bebas daripada penyakit sudah tentu dapat merangka perancangan ke arah hidup yang lebih baik dan bermanfaat.

Share |