AGIH…Sapawi diperhatikan oleh Roslan dan Matbali sedang mengagih-agih daging korban kepada salah seorang yang layak menerima di majlis tersebut.
KORBAN…Sapawi bersama Ketua PBS Lumadan Roslan Muharam (Enam dari kiri) dan Pegawai Perhubungan Parlimen Sipitang Matbali Musah (tengah) sedang melihat acara korban di Kampung Suasa, Beaufort.
SIPITANG: Umat Islam disaran agar tidak mengamalkan sikap tidak peduli atau tidak kisah terhadap perpaduan dan persefahaman.
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata cabaran pada abad ke-21, memerlukan perpaduan dan persefahaman di kalangan umat Islam untuk menghadapinya.
“Kita harus sedar tentang pentingnya perpaduan dan persefahaman kerana cabaran abad ke-21 bukan mudah untuk dihadapi,” katanya di sini kelmarin.
Justeru itu, beliau berkata kehadiran Aidil Adha sewajarnya dijadikan landasan bagi menilai perpaduan dan persefahaman yang sedia ada.
Katanya umat Islam tidak mungkin berupaya mencapai kejayaan dan juga kecemerlangan jika perpaduan dan persefahaman itu diketepikan.
Menurutnya sejarah dalam Aidil Adha perlu untuk dihayati dan diteladani oleh umat Islam.
“Sebaik-baiknya kita tidak sekadar menyambut Aidil Adha, pada masa yang sama kita menghayati segala mesej yang terdapat dalam perayaan itu,” katanya dan menambah Aidil Adha bukan sekadar mengajak umat Islam bagi menguatkan keimanan tetapi juga mengajak umat Islam untuk terus maju dan membangun.
Sambil mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha, Sapawi mengharapkan sambutan perayaan itu biarlah sederhana.
Katanya Aidil Adha merupakan perayaan yang turut penting kepada umat Islam “tetapi ia bukanlah menganjurkan kita untuk membuat sambutan yang berlebihan.”
Beliau juga mengingatkan agar umat Islam yang pulang ke kampung halaman masing-masing dengan menggunakan kenderaan agar memandu dengan berhati-hati.
“Kegembiraan kita dalam menyambut Aidil Adha tidak harus dikongsikan dengan kesedihan,” katanya lagi.
P
ada Aidil Adha ini Sapawi telah melakukan di lima tempat korban antaranya di Luagan (Sipitang), Memalia, Naluyan, Sauasa dan Ibu Pejabat Polis Sipitang.