Monday, November 23, 2009

Empat Pendekatan Jayakan Misi Penerangan Umno


FORUM…Sapawi dengan Ismail Awang Piut Ketua Bidang Pengajian Sains Sosial IPGM Tuaran (kiri) dan Remli Awang Pengarah Mampu Sabah (dua dari kiri) sebagai ahli panel Forum 1 Malaysia.

MESRA…Penolong Setiausaha Umno Sabah Datuk Masidi Manjun diiringi oleh Ahmad Maslan bersalaman dengan peserta bengkel yang hadir di majlis tersebut.

CERIA…Musa merakamkan kenangan bersama-sama Ketua-Ketua Penerangan Pemuda Umno yang hadir pada majlis tersebut.

SOKONGAN…Musa merakamkan kenangan bersama-sama Ketua-Ketua Penerangan Wanita dan Puteri Umno yang menghadiri bengkel tersebut.


TAKLIMAT…Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Sapawi ketika menghadiri majlis taklimat Bengkel Gagasan 1 Malaysia

KOTA KINABALU: Empat pendekatan perlu dipergunakan bagi menjayakan misi penerangan kata Datuk Ahmad Maslan.
Ketua Penerangan Umno Malaysia itu memberitahu empat pendekatan itu termasuklah media bersemuka, media cetak, media elektronik dan media maya.
“Pendekatan berceramah sudah tidak lagi berkesan pada era teknologi maklumat yang serba canggih,” katanya pada Bengkel Gagasan 1 Malaysia di sini kelmarin.
Bengkel tersebut dianjurkan oleh Biro Tata Negara disertai oleh 100 peserta termasuklah ketua-ketua penerangan Umno dari seluruh bahagian.
Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri memberitahu ketika ini generasi muda khususnya lebih tertarik dengan laman blog, face book, You Tube dan sebagainya.
Beliau berkata kerana itulah empat pendekatan tersebut amat perlu dipergunakan.
Sehubungan dengan itu Penerangan Umno pusat, katanya, telah meminta 191 bahagian di seluruh negara bagi menghantar dua ahli terbaiknya bagi mengikuti kursus jentera siber dan jentera penceramah.
Menurutnya ia sebagai persiapan bagi menangkis dan membetulkan kekeliruan ahli dan rakyat berhubungan perkara yang ditimbulkan oleh pembangkang.
Sebelum itu Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata anggota parti pada semua peringkat menghadapi pelbagai cabaran khususnya dalam mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap Umno dan juga Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata keputusan pilihan raya umum ke-12 lalu memperlihatkan penurunan sokongan rakyat kepada BN.
“Keadaan ini mungkin tidak berlaku di Sabah tetapi ia tidak harus membuatkan kita leka…sebaliknya kita harus berusaha agar rakyat terus yakin dan percaya kepada Umno dan juga BN,” katanya lagi.
Menurutnya kekeliruan yang ditimbulkan oleh pembangkang ternyata mempengaruhi rakyat “dan tugas kita ketika ini ialah memastikan sokongan rakyat kembali kepada BN dan juga Umno.”
Beliau juga memberitahu gagasan atau konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri bukan gimik politik.
Katanya sebaliknya konsep tersebut dilaksanakan dengan penuh kesungguhan dan mempunyai matlamat yang terbaik buat rakyat keseluruhannya.

Share |