Wednesday, November 4, 2009

Ucapan perbahasan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Hj Ahmad ke atas ucapan Bajet 2010 di Dewan Rakyat



Oleh : Datuk Sapawi Haji Ahmad.

Mukadimah

Terima kasih Tuan Yang Dipertua
Assalamualaikum-wahramahtullahi-wabarakatuh

Pertama sekali, terimakasih diucapkan kepada Tuan Yang Dipertua di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk sama-sama mengambil bahagian dalam perbahasan ke atas Ucapan Bajet Tahun 2010 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, selaku Menteri Kewangan di Dewan Yang Mulia ini pada hari Jumaat lepas, 23 Oktober 2009.

Secara peribadi, saya rasa bersyukur dan teruja, gembira lagi bertuah, kerana terpilih menjadi antara yang terawal untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet ini. Sememangnya menjadi harapan dan cita-cita setiap Ahli Yang Berhormat di Dewan Yang Mulia ini, untuk bersaing mendahului antara satu sama lain, sebagaimana tergambar dengan ramainya berdiri merebut giliran sebaik sahabat-sahabat yang lain selesai berucap membahas.

Ketika YAB Perdana Menteri membentangkan Bajet ini pada petang hari Jumaat yang lepas, saya mendengar penuh minat di sepanjang ucapan, menghayati bait-bait ayat yang diungkapkan, kemudian menyelami intipati gagasan yang dizahirkan. Di penghujungnya, saya temukan betapa tinggi perancangan dan komitmen, keprihatinan dan harapan, pimpinan kerajaan untuk menterjemahkan slogan mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian.

Lantaran itu, saya menyimpan tekad dan azam untuk mengambil bahagian seawal mungkin dalam perbahasan ini, kerana banyak perkara-perkara menarik harus diperkatakan tentang Bajet ini. Justeru, sepulangnya saya ke Sabah pada malam hari selepas pembentangan itu, saya telah memperuntukkan sebahagian masa pada penghujung minggu Sabtu dan Ahad, untuk menganalisa semula citra di sebalik Bajet ini, biarpun padat dengan pelbagai program di kawasan saya.


Kepada YAB Perdana Menteri, syabas dan tahniah di atas pembentangan bajet sulung, yang saya sifatkan sebagai terbaik pada dasawarsa ini. Saya katakan demikian kerana reaksi spontan sejurus dibentangkan, yang kemudian disusuli pelbagai komen beberapa hari kemudian, menjadi manifestasi yang tidak dapat disanggah lagi. Segalanya sarat dengan puji-pujian dari seluruh segmen masyarakat, daripada pemimpin politik (baik penyokong kerajaan mahupun pembangkang), sehinggalah kepada pemimpin rakyat dan masyarakat (di bandar, desa dan kampung), peneraju korporat dan syarikat (kecil dan besar) serta rakyat biasa, termasuk wanita dan golongan kurang upaya.

Sesuai dengan temanya "1Malaysia, Kemakmuran Bersama", Bajet 2010 telah menggarap keprihatinan gagasan besar 1Malaysia, menggapai harapan untuk kemakmuran bersama. Ternyata rakyat sentiasa jadi keutamaan, didahulukan dalam semua lapangan. Dari tengah lautan, nasib nelayan bergelut dengan ombak yang membadai tidak dilupakan. Nun jauh di pedalaman, penat petani yang berpeluh memugar tanah, juga ternyata mendapat pembelaan.

Bajet Tahun 2010 mengangkat tinggi martabat rakyat tanpa melupakan kepentingan sejagat, memacu pertumbuhan menggerak pembangunan, melestari Malaysia di persada dunia kerana strateginya dirangka cukup pragmatik, dijadikan batu loncatan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.
Inilah yang dapat saya simpulkan daripada Bajet ini yang mengambil kira kepentingan semua peringkat masyarakat, yang bekerja dan tidak bekerja, di bandar dan desa, membawa mereka melangkah sederap, mencapai cita menggapai impian.

Negeri Sabah, dan juga Sarawak, yang terpisah oleh Laut China Selatan dan agak terkemudian kemajuan fasa pembangunannya berbanding di Semenanjung ini, terus mendapat perhatian setimpal, mengisi ruang harapan setiap sudut hati rakyat yang setinggi Gunung Kinabalu dan sebesar Gua Niah.


Tenang air di hujung tanjung
Damai indah pandangan kampung
Kami terasa kini disanjung
Perhatian kerajaan tinggi dijunjung

Damai indah pandangan kampung
Merpati dan Nuri bersilang terbang
Kami teguh bersatu menjunjung
Budi Perdana Menteri sentiasa dikenang

Seperti saya katakan tadi, terlalu banyak perkara-perkara menarik tentang Bajet ini. Tetapi oleh kerana sudah ada beberapa rakan Ahli Yang Berhormat, termasuk dari Sabah dan Sarawak, yang sudah membahas dan mengupas sebahagian perkara tersebut sebelum ini, maka saya ingin menumpukan perbahasan kepada beberapa isu secara spesifik saja.

PERTAMA:
PERTANIAN MENJANA KEMAKMURAN

Tuan Yang Dipertua,

Perkataan "kemakmuran" yang melengkapi tema Bajet 2010 ini membawa pengertian besar di dalam jalur kehidupan masyarakat tani, juga nelayan dan penternak. Malaysia bermula sebagai negara pertanian, sebelum melangkah ke sektor ekonomi pembuatan dan industri, justeru kita tentunya tidak boleh lari daripada ekonomi teras ini. Peruntukan RM6 bilion yang disediakan tahun hadapan bulan calang-calang. Cukup besar dari segi amaun, membawa bersama gagasan sebesar itu juga, mentransformasi sektor pertanian, sebagai enjin menjana pertumbuhan, dari peringkat penanaman sehinggalah kepada rangkaian pemasaran.

Bumi Malaysia, dari Perlis di utara mengunjur ke Johor, merentas Pahang, menyeberang ke Sabah hingga Sarawak, tanahnya gembur berlembah subur lagi makmur. Janganlah kita biarkan tanah terbiar. Setiap inci tanah yang dilintasi, ada manusia mendiami, maka potensinya tetap ada, untuk diterokai dengan apa saja aktiviti yang pantas membawa hasil.


Untuk memastikan tercapainya usaha kerajaan menarik lebih ramai usahawan tani muda, sebagaimana digariskan dalam Bajet 2010 ini, tentu sekali ia menuntut pengemblengan usaha bersepadu. Jabatan dan agensi kerajaan mengalas tanggungjawab, rakyat pula memikul amanah. Jika keduanya sudah dijana, tentunya kita akan pantas melihat hasilnya. Insya-Allah.


Terpenting daripada semua itu ialah peranan institusi yang terlibat dalam bidang pertanian. Justeru, saya ingin menyarankan di Dewan Yang Mulia ini, agar usaha dilakukan bagi memperkasa fungsi dan peranan institut pertanian seluruh negara dari sudut:-

a). kurikulum dan sistem pembelajaran
b). latihan dan praktikal, dengan menerapkan amalan pertanian baik
c). tenaga pengajar terlatih dan kemahiran
d). kemudahan asas dan prasarana
e). memasukkan program inkubator untuk melatih dan membimbing belia serta graduan untuk menjadi usahawan tani.

Mungkin sudah tiba masanya bagi kerajaan mempertimbangkan untuk menaik taraf institut-institut pertanian yang ada di negara ini, sejajar usaha melahirkan lebih ramai usahawan tani. Negeri Sabah mempunyai beberapa institut pertanian seumpamanya, seperti Institut Latihan Pertanian Timbang Menggaris, Kota Belud, dan Institut Latihan Pertanian Bersepadu Penampang di Kota Kinabalu.

Barangkali boleh difikirkan untuk menaik taraf intitut pertanian ini menjadi kolej universiti dengan pengajian bermula di peringkat diploma. Usaha ini bukan saja mampu melahirkan modal insan berkualiti, tetapi juga meramaikan graduan tani dengan kepakaran atau "skill" (dengan izin) yang berfokus kepada bidang masing-masing, yang akhirnya menjadikan mereka usahawan tani, sejajar slogan "Pertanian Sebagai Satu Perniagaan."
Usaha ini bolej dijayakan dengan jaringan kerjasama semua agensi berkaitan, termasuk Kementerian Pertanian, Industri dan Asas Tani, Kementerian Belia dan Sukan, Universiti Putra Malaysia, AgroBank dan Wilayah Pembangunan Koridor.


Kita juga tertarik dengan usaha kerajaan, menerusi Bajet 2010, untuk menaik taraf dan membaik pulih sistem infrastruktur pengairan dan saliran di dalam dan luar jelapang padi. Ia dikatakan akan memberi manfaat kepada 180,000 petani dengan peruntukan sejumlah RM137 juta.

Penyediaan kemudahan sistem pengairan ini wajar diberi perhatian utama, memandangkan ia menjadi antara faktor membantutkan pembangunan tanaman padi. Misalnya, projek Jelapang Padi yang dilaksanakan di daerah Kota Belud, Sabah, tidak mencapai sasaran, yang berpunca daripada masalah berkenaan.

Justeru, dengan komitmen kerajaan menerusi Bajet 2010 ini, diharapkan ia membawa sinar baru kepada petani, khususnya pesawah. Tentunya menjadi harapan kami, agar sebahagian daripada jumlah 180,000 petani yang disebutkan itu datangnya dari Sabah, dan sebahagian daripada peruntukan RM137 juta itu tertempias ke negeri kami.

Kerajaan negeri Sabah menerusi agensinya, iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) telah kini memperhebatkan usaha penanaman padi secara komersial dengan satu projek perintis dilaksanakan di daerah kecil Membakut, tidak jauh dari kawasan saya, Sipitang.

KEDUA:
SABAH DAN SARAWAK
DAPAT PEMBELAAN BERTERUSAN

Tuan Yang Dipertua,

Bagi pihak sahabat-sahabat Ahli Yang Berhormat dari Sabah, dan juga Sarawak, saya ingin mengambil ruang kesempatan ini untuk melakarkan ucapan penghargaan setingginya kepada YAB Perdana Menteri, yang berterusan memberi perhatian terhadap negeri kami biarpun terpisah di seberang lautan.

Tentunya kami berasa sangat berbesar hati, gembira tidak terperi, menghargai keikhlasan budi dari pimpinan tertinggi. Peruntukan yang diberi membawa makna cukup bererti dalam kami melangkah bersaing dengan lain-lain negeri.

Penyediaan prasarana di perdesaan, memperkasakan sektor pertanian dan mempertingkat kemudahan luar bandar, merangkumi bekalan air dan elektrik, yang dirungkai dalam Bajet 2010, menjadi jawapan pada harapan kami sejak sekian lama.

Keseluruhannya, sejumlah RM2.3 bilion diperuntukkan bagi tujuan membina dan menaik taraf infrastruktur di kawasan luar bandar seluruh negara. Tentunya, menjadi harapan kami agar Sabah dan Sarawak, yang masih sinonim dengan kemunduran mutlak dan kemiskinan tegar, mendapat agihan selayaknya.


Harapan besar ini kami titipkan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, yang kebetulan diterajui pemimpin negeri kami, apabila beliau merangka pelan induk pembangunan luar bandar secara komprehensif selepas ini.

Disebutkan bahawa jalan luar bandar sejauh 510 kilometer dan jalan kampung sepanjang 316 kilometer akan dibina dengan peruntukan RM857 juta tahun hadapan. Antara yang disebutkan termasuk jalan di Kapit, Lawas dan Simunjan di Sarawak, serta Kinabatangan, Kota Belud dan Keningau di Sabah.

Biarpun Sipitang tidak disebut secara spesifik di dalam huraian projek yang diumumkan dalam Bajet ini, namun kami yakin bahawa kami tidak pernah dilupakan oleh Yang Berhormat Menteri. Bukan saja kerana sinonimnya pangkal huruf "S" pada nama kami dan nama kawasan kami (Sipitang dan Semporna), tetapi kedudukan geografi dan topografi kedua-dua kawasan Parlimen ini juga banyak persamaan -- meskipun satu di pantai timur, dan satu di pantai barat. Semporna ada laut, pantai dan lembah. Demikian juga Sipitang.

Bermakna, apabila Yang Berhormat Menteri menyelami denyutan nadi dan harapan hati warga Semporna, tentu demikian juga prihatinnya pada kawasan kami dan wilayah lain yang tergolong dalam kategori luar bandar. Bukan niat untuk memuji, jauh sekali mengangkat kaki, tetapi saya percaya pemimpin kami yang disanjung tinggi ini, dan menerajui kementerian yang begini penting, akan sentiasa mendengar suara hati para pengundi.


Kita juga tertarik dengan Laporan Ekonomi 2009/2010 yang menjangkakan penduduk di pedalaman Sabah dan Sarawak bakal menikmati bekalan air bersih yang meliputi sehingga 90 peratus kawasan, dan elektrik bagi 95 peratus kawasan, menjelang tahun 2012.

Penyediaan peruntukan pembangunan yang besar tahun hadapan sangat dihargai dan dialu-alukan. Sesungguhnya, tumpuan dan perhatian yang diberikan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak menerusi Bajet ini, adalah manifestasi matlamat sejujurnya untuk membangun bersama, seiring gagasan 1Malaysia, walaupun agak berjauhan dan berlainan wilayah.

Dengan pembelaan yang diberikan itu, kini kami berasakan tidak lagi berada di pinggiran, apatah lagi kerajaan telahpun mengumumkan untuk menjadikan 16 September, yang merupakan tarikh keramat bagi kami di Sabah dan Sarawak, sebagai cuti umum di seluruh negara, mulai tahun hadapan. Perisytiharan ini sungguh bermakna buat kami, dan saya simpulkan dengan penghayatan berikut:-

16 September
Bersatulah kiita di perhentian ini
Bersila di atas padang merdeka
Berpayung di bawah pohon yang satu
Terlindung dari panas membara
Menganyam lebar tikar perpaduan
Bersilang jalur kepelbagaian
Melakar sejarah bangsa



KETIGA:
PENDIDIKAN JADI KEUTAMAAN


Tuan Yang Dipertua,

Dalam bidang pendidikan, saya tertarik dengan beberapa pendekatan menarik kerajaan memperkasa bidang ini. Pimpinan tertinggi meletakkan aspek ini sebagai keutamaan, dan sememangnya ia harus diangkat demikian, kerana ia prasyarat bagi tamadun bangsa meningkat martabat.

Kementerian Pelajaran yang kini diterajui YAB Timbalan Perdana Menteri menggalas tugas yang tidak terbatas. Usaha meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menjadi keutamaan kini selaras dengan matlamat untuk membangunkan modal insan yang berkualiti tinggi. Dan untuk tujuan itu, Kerajaan memperuntukkan lebih RM30 bilion kepada pendidikan rendah dan menengah, yang bakal memberi manfaat kepada 5.5 juta pelajar di seluruh negara.

Sebagaimana yang disebutkan dalam Bajet 2010, peruntukan tersebut merangkumi pelbagai aspek, termasuk sejumlah RM1.6 bilion bagi pembinaan 80 buah sekolah baru serta 1,100 buah blok tambahan dan 347 projek gantian sekolah. Peruntukan ini adalah untuk pembinaan Sekolah Kebangsaan Rendah dan Menengah, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil serta Sekolah Mubaligh (mission school). Di samping itu, sebanyak 1.1 bilion ringgit disediakan bagi mengubahsuai dan menaik taraf, termasuk sekolah di seluruh negara, terutama di Sabah dan Sarawak.

Untuk itu, saya ingin menarik perhatian di Dewan Yang Mulia ini, agar dapat kiranya menjenguk keperluan sekolah-sekolah kami di Sabah, terutama Sipitang, yang taburan penduduknya berselerakan penuh kepayahan. Di sesetengah tempat, anak-anak kecil yang ke sekolah terpaksa berjalan kaki menuruni bukit, terpaksa berakit menyeberangi sungai.


Suatu peristiwa sungguh menyayat hati terjadi di Sipitang tahun lalu, seorang pelajar perempuan lemas setelah pacuan empat roda yang ditumpanginya dihanyutkan arus deras, ketika meredah menyeberangi sungai. Mayatnya yang masih dalam keadaan sempurna ditemui beberapa hari kemudian, tersangkut pada akar kayu di dasar sungai. Ketika mayatnya diangkat, keluarga dan saudara, teman dan rakan sesekolah, meratapi pemergiannya.

Mungkin tragedi itu tidak mendapat liputan meluas media arus perdana, justeru tidaklah ramai mengetahuinya. Tetapi itulah sebenarnya realiti kepayahan kami di bumi Sabah, ia gambaran betapa susahnya rakyat mendapatkan ilmu, terpaksa bergadai nyawa, mengharungi perjalanan penuh cabaran untuk ke sekolah. Tragedi yang menimpa si gadis itu cuma sebahagian daripada contoh kepayahan sebahagian warga kami jauh di sana.

Justeru, pada kesempatan ini, saya memohon serendah hati, setulus niat, agar dapat kiranya pihak kementerian menimbang untuk mendirikan sebuah sekolah menengah rendah berasrama di sebuah lokasi di sekitar kawasan perbukitan di antara Long Pasia, Meligan dan Mendulong, dalam daerah Sipitang yang saya wakili.

Kawasan ini benar-benar memerlukan sebuah sekolah menengah rendah bagi menampung keperluan anak-anak dari pelbagai kampung di kawasan sekitarnya yang berpenduduk lebih 3,000 orang. Sekolah menengah rendah terdekat terletak di Padang Berampah atau Pekan Sipitang, yang perjalanannya mengambil masa sekitar empat jam hingga empat setengah jam -- tertakluk kepada keadaan cuaca.

Kawasan Long Pasia merupakan perkampungan paling terpencil di daerah saya, dan pernah dilawati oleh YB Timbalan Menteri Pelajaran awal tahun ini, yang telah merasai derita sengsara perjalanan berkereta jauh ke sana, melalui jalan tanah merah berlubang-lubang, dan sesekali kenderaan kami berselisih dengan lori-lori mengangkut balak.

Menyelami lebih jauh iltizam Bajet 2010 ini, saya sebagai bekas guru secara peribadi, rasa tersanjung dengan pengiktirafan yang diberi oleh kerajaan kepada warga pendidik, khususnya Pengetua dan Guru Besar.

Penghargaan sungguh bermakna bagi sekolah yang menunjukkan prestasi cemerlang di mana kerajaan bersetuju memperkenalkan `New Deal' atau Bai'ah Baru bagi menghargai jasa dan prestasi para Pengetua serta Guru Besar. Juga disebutkan bahawa kerajaan akan menentukan sasaran prestasi yang perlu dicapai oleh Pengetua dan Guru Besar. Dan sekiranya sasaran tersebut dicapai, ganjaran berbentuk insentif kewangan dan bukan kewangan serta autonomi dalam mentadbir sekolah akan diberikan.

Semua ini pastinya menjadi pembakar semangat kepada para guru untuk lebih dedikasi dan komited mendidik anak-anak bangsa. Tentunya semuanya ini dilakukan atas prinsip kebertanggungjawaban, demi melahirkan generasi hari muka yang cemerlang.


Satu lagi aspek menarik dalam Bajet ini ialah tawaran pakej netbook, termasuk perkhidmatan broadband percuma, kepada pelajar universiti. Sementara kita menyokong penuh usaha dan pendekatan ini, kita juga mahu pihak kementerian melihat keperluan dan kemudahan berkaitan ICT di sekolah-sekolah, terutama di luar bandar.

Saya terpanggil mengutarakan hal ini kerana kita telah lama dibelenggu dengan masalah projek makmal komputer yang terbengkalai. Sebagaimana diketahui umum, makmal komputer adalah kemudahan utama bagi sekolah-sekolah mendapat akses dunia internet. Tetapi sedihnya, dilaporkan bahawa terdapat kira-kira 150 makmal komputer yang terbengkalai di negeri Sabah, termasuk sebahagiannya di kawasan saya, Sipitang.

Kita berharap agar Kementerian Pelajaran mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan untuk mengenal pasti puncanya dan seterusnya mengambil tindakan memperbetulkan keadaan. Ia tidak boleh dibiar berterusan, kerana boleh menjejaskan kualiti pendidikan dalam jangka masa panjang.

KEEMPAT:
BANGUNAN IBU PEJABAT POLIS (IPD) SIPITANG

Tuan Yang Dipertua
Setahun yang lalu, saya berdiri di Dewan Yang Mulia ini, bangkit menyuarakan rasa sedih dan pilu, terharu dan sedikit malu, tentang kedaifan Ibupejabat Polis Daerah Sipitang yang terpaksa menumpang di flet berek kuarters kakitangannya, sedangkan Sipitang merupakan pintu masuk terpenting negara kita.

Terletak di lokasi sempadan, berdekatan Sarawak, Brunei dan Kalimantan, IPD Sipitang kelihatan tidak sepadan. Imej sebagai bandar sempadan, seperti Bukit Kayu Hitam di utara tanahair, semestinya memberi keyakinan kepada setiap orang, supaya tenang dan senang hati tatkala mereka datang bertandang.

Dengan rangkaian lebuh raya menghubungkan Beaufort hingga ke Kota Kinabalu di pantai barat, dan Tenom hingga ke Keningau di pedalaman, Sipitang harus dijadikan sebagai bandar sahabat yang bukan saja kelihatan selamat, tetapi seharusnya sentiasa dalam keadaan selamat.

Kawasan tapak bagi pembinaan bangunan IPD Sipitang yang dicadangkan itu sudah tersedia dan jika ada kelulusan, kerja boleh bermula pada bila-bila masa, dan tidak mungkin tertangguh lama-lama.

Justeru, suatu langkah drastik diharap dapat diambil oleh Kementerian Dalam Negeri bagi melihat keperluan kini dari sudut yang luas, dan perspektif yang menyeluruh, selaras dengan prinsip Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) menyediakan jaminan keselamatan kepada masyarakat. Menerusi Bajet 2010 ini, Kerajaan telah pun meletakkan sasaran untuk mengurangkan indeks jenayah ke tahap paling minimum, sebanyak 5 peratus, dan penyediaan kemudahan asas bagi anggota pasukan keselamatan, khususnya polis adalah prasyarat mencapai matlamat ini.

Pembinaan bangunan baru IPD Sipitang diharap tidak lagi terlepas pandang, apatah lagi jika kita melihat angka-angka peruntukan yang begitu besar disediakan bagi tujuan pencegahan jenayah dan jaminan keelamatan dalam Bajet ini. Sejumlah RM3.7 bilion disediakan untuk mempertingkatkan kecekapan anggota keselamatan, termasuk menyediakan kelengkapan yang moden dan canggih. Sebanyak RM1 bilion disediakan untuk meningkatkan perkhidmatan PDRM.

Begitupun, penghargaan harus saya suarakan, dan sampaikan kepada kerajaan, atas keprihatinan dan tindakan menaikkan taraf jawatan Ketua Polis Daerah (OCPD) Sipitang daripada berjawatan Asisten Superitendan (ASP) sebelum ini, kepada Deputi Superitendan (DSP) selepas saya membangkitkan persoalan yang sama setahun lalu.

Rasionalnya, jawatan dan pangkat polis Sipitang sudah naik, maka wajarlah kini bangunan dan pejabatnya pula dinaik taraf.


KELIMA:
MENGGERAKKAN PELANCONGAN


Tuan Yang Dipertua

Sepintas saya ingin memuji usaha kerajaan untuk membangun dan merancakkan industri pelancongan. Peruntukan yang disediakan, pendekatan yang dilaksanakan, tentu saja mampu menjadikan bidang ini sebagai penjana pertumbuhan ekonomi.

Dari dasar laut yang membiru, hutan yang menghijau, gunung-ganang yang memukau, dan sungai jernih berair kristal, hingga kepada semut-semut, unggas dan mawas, semuanya menjadi khazanah berharga. Tidak syak lagi potensi industri ini sangat tinggi, daripada eko-pelancongan dan agro-pelancongan, hingga kepada edupelancongan dan pelancongan kesihatan.

Jika perancangan menepati harapan, jika unjuran memenuhi sasaran, negara akan beroleh pendapatan tinggi dari industri ini. Lihat saja, perangkaan yang disebut menunjukkan sehingga Ogos tahun ini, jumlah kemasukan pelancong asing meningkat 4.4 peratus kepada 15.4 juta, berbanding 14.7 juta dalam tempoh yang sama 2008.

Salah satu strategi kerajaan bagi memajukan bidang ini ialah dengan meningkatkan kualiti infrastruktur pelancongan, dan apabila menyebut hal ini, tentunya ia berkait rapat dengan prasarana seperti kemudahan pengangkutan udara dan darat.

Mewakili sahabat-sahabat dari Negeri Di Bawah Bayu, saya agak terkilan dan tertanya-tanya dengan kelewatan penyiapan fasa kedua projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), yang merupakan lapangan terbang kedua terbesar selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sudah pun lama terlewat daripada jadual penyiapan asal, sedangkan ia merupakan pintu masuk utama pelancong asing ke negeri Sabah.


Sehingga kini, kerja-kerja pembinaan fasa kedua pengubahsuaian terminal lama begitu "slow" (dengan izin) sedangkan fasa pertama yang melibatkan pembinaan bangunan terminal utama begitu cepat disiapkan kontraktor.

Pada hari Isnin lepas, ketika mengambil penerbangan dari Kota Kinabalu untuk ke sini, saya sempat meninjau-ninjau dari tingkap bangunan, dan ternyata ia masih tidak banyak berubah berbanding beberapa bulan lepas.

Jika begini keadaannya, kita khuatir ia boleh menjejaskan kemajuan industri pelancongan negeri dalam jangka masa panjang. Malahan, ia mungkin membawa kesan kepada usaha menjadikan KKIA sebagai hab penerbangan serantau, sebagaimana yang dihasratkan oleh Kementerian Pengangkutan.


Kepada kementerian yang berkenaan, tengok-tengoklah dan tinjau-tinjaulah, apa sebenarnya yang menyebabkan kerja penyiapan projek fasa kedua KKIA ini terlajak jauh daripada jadual asal.

PENUTUP

Tuan Yang Dipertua

Tiga strategi utama Bajet ini, iaitu untuk memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mapan, serta mengutamakan kesejahteraan rakyat, mengambarkan iltizam tinggi Perdana Menteri menahkoda zaman dan berusaha menunai janji dan memenuhi harapan.

Huraiannya mengenai pelbagai program kesejahteraan rakyat menunjukkan betapa kepentingan rakyat mengatasi segalanya. Ini tentunya dilakukan dengan mengambil kira hakikat bahawa pilihan raya sudah berlalu, dan kini tiba masanya bagi kerajaan mengagih apa yang dijanji sebelum rakyat tampil menagih.

Sebagaimana yang diungkapkan oleh Perdana Menteri, Bajet 2010 yang berjumlah RM191.5 bilion ini "menelusuri keperluan dan meresapi denyut nadi rakyat" dan sememangnya ia suatu persembahan tulus dan ikhlas daripada kerajaan yang menjiwai rakyat.

Secara umumnya, saya menyimpulkan bahawa bajet tersebut merupakan suatu belanjawan terbaik yang mengambil kira kepentingan semua peringkat masyarakat, baik di bandar mahupun desa.

Untuk menjayakannya, saya mengajak seluruh lapisan rakyat untuk membulatkan tekad, sepakat bermuafakat mencapai matlamat. Marilah kita ketepikan sikap ego, kita benamkan sifat sombong. Bersatu kita teguh, bergaduh kita roboh. Pimpinan politik, termasuk di sebelah pembangkang, juga mempunyai peranan masing-masing bagi menjayakan agenda pembangunan demi negara Malaysia tercinta ini.

Masuk hutan pakai sepatu
Takut kena gigitan pacat
Kalau kita selalu bersatu
Semua kerja mudah dibuat

Sekian, saya mohon menyokong.

Share |