Monday, December 21, 2009

Selamat Hari Natal


SUMBANGAN…Sapawi menyampaikan sumbangan peralatan dapur kepada wakil rumah kebudayaan Seri Menanti, Sipitang di majlis tersebut.


SIPITANG: Jadikan sambutan perayaan sebagai usaha memperkukuhkan lagi persefahaman dan perpaduan yang sedia ada.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad ketika menyampaikan ucapan Selamat Hari Krismas kepada penganut agama kristian berkata rakyat negara ini khsusunya di Parlimen Sipitang bertuah kerana dapat menikmati perayaan keagamaan tanpa sebarang gangguan.


“Keadaan kita menyambut perayaan di negara ini amat berbeza dengan di beberapa buah negara lain…inilah keistimewaan yang kita miliki dan wajar untuk dipertahankan,” katanya ketika ditemui pada Pemimpin Bersama Rakyat dan Sambutan Pra Natal di Rumah Kebudayaan Kampung Seri Menanti kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah wakil rakyat Sindumin Ahmad Bujang, Pemimpin dan Kemajuan Rakyat Sindumin Abdul Rahman Mohd Noh

Sapawi berkata sambutan perayaan pada kali ini sudah tentu berbeza dengan sambutan perayaan tahun-tahun yang sudah tetapi perkara yang utama ialah persefahaman dan perpaduan perlu diperkukuhkan.

Menurutnya krismas merupakan perayaan yang diraikan oleh penganut kristian tetapi turut dimeriahkan oleh mereka yang bukan beragama kristian.

Katanya situasi itu memperlihatkan betapa rakyat negara ini saling hormat-menghormati.

“Inilah kekuatan yang kita miliki dan ia harus menjadi kebangaan kepada kita,” katanya lagi.

Sapawi juga berharap amalan rumah terbuka dan budaya kunjung mengunjung antara satu sama lain akan dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

“Amalan dan budaya yang positif ini wajar kita serapkan kepada generasi muda…kita mahu keharmonian dan kemakmuran negara adalah berpanjangan dan berkekalan,” katanya lagi.


Share |