Sunday, December 20, 2009

Sumbangan Krismas





SIPITANG: Kebijaksanaan pemimpin membolehkan rakyat pelbagai kaum di negara ini menikmati perayaan keagamaan tanpa perlu merasa bimbang atau gusar.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata langkah pemimpin meletakkan persefahaman dan perpaduan kaum sebagai perkara paling utama adalah satu langkah yang amat bijak.

“Persefahaman dan perpaduan antara kaum membolehkan kita meraikan perayaan keagamaan masing-masing tanpa perlu merasa takut, gusar atau bimbang,” katanya pada majlis penyampaian sumbangan sempena sambutan Hari Krismas di sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah wakil rakyat Sindumin Ahmad Bujang, Pemimpin Kemajuan Rakyat Sindumin Abdul Rahman Mohd Noh, Pegawai Pambangunan Masyarakat Richard Kamtan dan Wakil Pemimpin Gereja Thaba Libang.

Sapawi berkata jika pemimpin terdahulu dan sekarang bersikap sambil lewa terhadap persefahaman serta perpaduan kaum sudah tentu apa yang dinikmati ketika ini tidak mungkin dapat dirasai.

Katanya rakyat sudah tentu akan meraikan sambutan perayaan masing-masing dengan bimbang, takut dan sebagainya.

“Kita wajar bersyukur kerana kebijaksanaan kepimpinan negara membolehkan kita menikmati kehidupan yang harmoni, aman dan damai…yang istimewanya kita tanpa mengira agama sama-sama meraikan perayaan tersebut,” katanya lagi.

Beliau berkata meskipun negara ini menjadikan Islam sebagai agama rasmi, namun penganut agama lain tidak dipinggirkan.

Sehubungan dengan Sapawi menegaskan rakyat harus bersikap tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba membangkitkan kemarahan antara kaum.

Menurutnya pihak yang cuba membangkitkan kemarahan antara kaum adalah mereka yang sebenarnya mementingkan diri sendiri.

“Agenda mereka adalah untuk kepentingan diri bukan untuk rakyat dan negara…mereka ini harus tidak diberi ruang kerana kita mahu keharmonian dan kemakmuran yang dinikmati ketika ini akan juga dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya lagi.


Share |