Tuesday, December 15, 2009

Tanggungjawab Menjaga Keamanan Tanggungjawab Bersama


SOKONGAN….Sapawi dan Kamarlin merakamkan kenangan bersama-sama anggota JPA yang menamatkan latihan asas tersebut

DIHARGAI…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin menerima cendera kenangan daripada Pengarah JPA Negeri Mejar Askandar Ampuan Yaa’Cub di majlis tersebut.

DIHARGAI…Ketua Unit JPA Weston Ahmad Apong diperhatikan oleh Sapawi dan Kamarlin menerima cenderakenangan daripada Pengarah JPA Negeri Mejar Askandar Ampuan Yaa’cub di majlis tersebut.


CERIA…Sapawi dan Kamarlin diiringi oleh Pengarah JPA Negeri Mejar Awang Askandar Ampuan Yaa’cub bersalaman dengan anggota JPA di majlis tersebut.


TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin menyampaikan sijil kepada wakil anggota JPA yang mengikuti kursusu asas tersebut.

WESTON (Beaufort): Tanggungjawab menjaga keharmonian dan keamanan negara tidak hanya terletak kepada pihak berkuasa seperti polis dan juga tentera.

Sebaliknya tanggungjawab itu juga harus dimainkan oleh rakyat seluruhnya, kata Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad pada majlis perasmian dan penutupan tamat kursus asas Jabatan Pertahanan Awam (JPA) daerah Beaufort di sini kelmarin.

Kursus asas tersebut melibatkan 120 orang sukarelewan daripada tiga kawasan antaranya Beaufort, Lumadan dan Weston turut dihadiri oleh wakil rakyat Lumadan Kamarlin Ombi, Pengarah JPA Negeri Mejar Awang Askandar Ampuan Yaa’cub, Pemimpin Kemajuan Rakyat Lumadan Ahmad Mumin dan Ketua Unit JPA Weston Ahmad Apong.

Sapawi berkata kerajaan sendiri meletakkan keharmonian dan keamanan negara sebagai perkara yang paling penting dan tidak bersikap kompromi dalam perkara tersebut.

“Usaha sentiasa dilakukan bagi memastikan keselamatan negara tidak terancam,” katanya dan menambah kerajaan tidak sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengancam keselamatan, keharmonian dan keamanan negara.

Katanya kerajaan akan memastikan rakyat negara ini terus menikmati kehidupan yang harmoni, aman dan tidak dibelenggu dengan ketakutan.

“Inilah antara sebab tenaga sukarelawan ditubuhkan kerana kita tidak boleh menyandarkan tanggungjawab itu kepada pihak berkuasa keselamatan semata-mata,” katanya.

Menurutnya penglibatan generasi muda dalam tenaga sukarelawan membantu memastikan keharmonian dan keamanan negara diteruskan, dipelihara dan diperkuatkan.

Sehubungan dengan itu Sapawi berharap agar anggota JPA akan dapat memainkan peranan dalam membantu pihak berkuasa keselamatan dalam mempertahankan keharmonian, keamanan dan kedaulatan negara.

Beliau berkata penglibatan masyarakat yang terdiri dari pelbagai suku kaum turut membuktikan rakyat negara ini secara keseluruhannya adalah rakyat yang mahukan keharmonian dan keamanan negara berterusan.


Share |