Saturday, January 16, 2010

Musa Dijangka Lancar Projek Penanaman Nenas Di Sipitang


TAKLIMAT…Sapawi diperhatikan oleh wakil rakyat Sindumin mendengar taklimat pelancaran tanaman nenas yang di sampaikan oleh Penasihat Korporat SLDB Awang Saufi Limuddin (tiga dari kanan).


KOTA KINABALU: Selepas mengusahakan penanaman padi untuk kawasan tanah terbiar, Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) bakal melaksanakan projek penanaman nenas.


Projek di bawah program kepelbagaian LKTNS dalam memperluaskan perniagaannya itu akan diperkenalkan di Kampung Lumut Sipitang akhir bulan ini dan seterusnya ke kawasan-kawasan lain di Sipitang, kata pengerusi LKTNS Datuk Sapawi Ahmad.


Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman dijangka melancarkan perasmian projek penanaman nenas itu pada 23 Januari ini di Kampung Lumut, Sipitang di mana 800 hektar tanah terlibat untuk penanaman tersebut.


“Projek ini merupakan salah satu usaha kita untuk membantu meningkatkan sosio ekonomi rakyat khususnya di kawasan luar Bandar,” kata Sapawi di sini kelmarin.


Menurutnya projek yang pertama kali dilaksanakan itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat selama enam tahun.


Beliau memberitahu bagi peringkat awal seluas 31 hektar tanah akan terlibat dengan penanaman nenas dan Kampung Lumut Sipitang menjadi perintis pertama.


“Pelaksanaan projek itu diharap dapat membantu pengeluaran makanan di negeri ini,” katanya lagi..


Katanya pelaksanaan projek itu juga mendapat bantuan teknikal dan kepakaran oleh Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia sebagai usaha menghasilkan buah yang berkualiti untuk pasaran tempatan dan juga dieksport.


Share |