Wednesday, January 20, 2010

Sapawi Menerima Kunjungan Hormat Unit Media Baru Pemuda Umno Sabah


DIHARGAI…Sapawi menerima cenderakenangan daripada Pengerusi Unit Media Baru Pemuda Umno Sabah Sh Sahar Sh Ading sejurus kunjungan tersebut


KOTA KINABALU: Unit Media Baru Pemuda Umno Sabah disaran agar memainkan peranan dalam menguatkan kekuatan dan kemantapan parti.

Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata unit itu wajar membantu jentera pada semua peringkat bagi memastikan rakyat khususnya akar umbi tidak dipengaruhi oleh dakyah-dakyah parti pembangkang.

“Usaha harus dilakukan dan UMB Pemuda perlu memainkan peranan sejajar dengan tujuan serta matlamatnya,” katanya ketika menerima kunjungan dari UMB Pemuda Umno Sabah di Pejabat Umno Sabah di sini kelmarin.

Sapawi yang berbesar hati dengan kunjungan itu berkata kekuatan dan kemantapan Umno serta BN Sabah bukan sahaja perlu dipertahankan tetapi juga perlu untuk dipermantapkan.

Beliau berkata kekuatan dan kemantapan itu hendaklah berterusan dengan rakyat terus yakin terhadap perjuangan Umno dan juga BN.

Menurutnya ketika ini pembangkang menggunakan pelbagai cara termasuklah internet untuk memesongkan pemikiran rakyat.

Katanya ia merupakan cabaran yang harus dihadapi “dan kita perlu tampil bagi memperjelaskan setiap dakyah yang dilontarkan.”

Beliau berkata langkah itu perlu kerana rakyat memerlukan penjelasan yang sebenar.

“Peranan dan tanggungjawab itu harus kita laksanakan,” katanya lagi.

Kunjungan seramai 10 ahli jawatankuasa tersebut diketuai oleh Pengerusi UMB Pemuda Umno Sabah Sh Sahar Sh Ading, Timbalan Pengerusi Mohd Fazil Mohd Ali, Setiausaha Rosley Mustireh, Bendahari Marzuki Datuk Nasir dan Ketua Penerangan Moh Shahrir Jublee.

Sementara itu ahli jawatankuasanya terdiri daripada Mohd Iizham Datuk Majin, Ag Pasih Abdul Kahar, Saidin Ibrahim dan Ramilkan Adsin.


Share |