Monday, January 25, 2010

Ahli Umno Usah Leka Dibuai Dengan Keselesaan







BEAUFORT: “Usah leka dibuai dengan keselesaan.”

Itulah nasihat yang diluahkan oleh Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad kepada ahli Umno ketika menyampaikan ceramah di sini kelmarin.

Beliau berkata kekuatan dan kemantapan Umno Sabah sehingga dianggap sebagai `fixed deposit’ tidak harus melekakan dan melalaikan.

“Perjuangan kita masih lagi jauh dan perlu dilaksanakan dengan komitmen yang tinggi,” katanya pada kursus kepimpinan Umno Bahagian Kota Kinabalu.

Menurutnya kekuatan dan kemantapan itu boleh sahaja dimusnahkan jika ahli parti leka dan lalai dibuai dengan keselesaan.

Katanya apa yang dicapai pada ketika ini bukan sahaja perlu dipertahankan tetapi juga perlu dipertingkatkan.

“Keyakinan dan kepercayaan kepada Umno Sabah dan juga Barisan Nasional (BN) negeri ini perlu diteruskan dan tidak dibiarkan,” katanya lagi.

Sapawi yang juga Ketua Umno Bahagian Sipitang berkata amat penting bagi setiap anggota parti pada semua peringkat memainkan peranan yang diamanahkan.

Menurutnya setiap tanggungjawab itu amat penting kepada parti khususnya dalam memastikan Umno terus kuat dan mantap.

“Perjuangan kita adalah perjuangan parti yang membela rakyat dan bukan perjuangan berkepentingan diri,” katanya dan menambah persefahaman dan kerjasama setiap ahli parti turut memainkan peranan penting.

Beliau memberitahu ketika ini Umno berdepan dengan pelbagai cabaran khususnya dalam usaha memikat generasi muda.

Katanya usaha memikat generasi muda perlu dilakukan “dan antara cara itu ialah dengan mendekati dan memberi perhatian terhadap mereka.”

Menurutnya generasi muda perlu diberi kesedaran tentang perjuangan yang telah dilakukan oleh Umno dan juga BN.

“Penerangan dan penjelasan itu penting agar mereka tidak mudah dipergunakan, diperdaya dan dipengaruhi oleh dakyah-dakyah pembangkang,” katanya lagi.


Share |