Monday, April 5, 2010

Teks ucapan perbahasan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Sapawi Hj Ahmad dalam perbahasan di Dewan Rakyat




Terima kasih Datuk Speaker,

Bismillah-Nir-Rahman-Nir-Rahim
Pertamanya,
setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Speaker, kerana memberikan saya ruang kesempatan ini, untuk menyertai perbahasan ke atas titah Ucapan Diraja oleh Ke Bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, sempena pembukaan rasmi Penggal Ketiga Parlimen ke-12 ini.

Sebelum melanjutkan ucapan ini, marilah kita semua di Dewan Yang Mulia ini, bersama-sama merafakkan sembah menjunjung duli ke bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, atas perkenan mencemar duli merasmikan persidangan Parlimen kita ini pada hari Isnin yang lepas. Marilah juga kita merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah Taala kerana dengan limpah rahmat, kurnia dan izin-Nya, maka kita terus berkesempatan untuk bertemu lagi di penggal baru Parlimen yang bermula beberapa hari yang lalu.

Seperti rakan-rakan Ahli Yang Berhormat yang lain, Sipitang sesungguhnya berasa sangat berbesar hati kerana mendapat ruang perbahasan ini untuk memberikan sedikit pandangan, dan juga mengetengahkan beberapa perkara yang dirasakan penting dan perlu diberikan pertimbangan, demi rakyat, bangsa dan tanahair tercinta ini.

Sipitang menyanjung tinggi, mengkagumi dan rasa bangga, terhadap intipati titah diraja itu yang dirangka rapi dan disusun kemas, diatur lengkap dan dimuat mampat, mencakupi semua aspek dan topik kehidupan, mengumpul pelbagai ramuan untuk memenuhi segala keperluan, mengisi aspirasi rakyat sejagat tanpa mengira darjat dan pangkat.

Ringkasannya, Sipitang teruja dengan titah diraja ini, yang terbaik dalam dasawarsa mutakhir kini, kerana ia bukan sekadar cantik dan menarik, tetapi cukup holistik, objektif dan pragmatik. Gagasannya jelas dan terperinci, merentasi segenap kepentingan. Daripada soal politik dan sosial, hingga kepada ekonomi dan pembangunan sejagat. Tentunya semua itu menjurus kepada matlamat menyuburkan ekonomi dan memakmurkan rakyat.


Tuan Speaker,

Oleh kerana beberapa rakan-rakan Ahli Yang Berhormat yang lain telah pun mengupas panjang titah diraja ini, maka saya tidaklah mahu mengulang beberapa hal yang sudahpun diperkatakan. Memadai jika saya berkongsi sedikit pandangan, melontarkan cadangan, dan menyampaikan suara hati rakyat dari akar-umbi, agar sudi kiranya diambil perhatian dan ditimbang-tara oleh barisan kepemimpinan terhormat di hadapan sana, yang dibarisi para menteri dan timbalan menteri yang bijaksana, serta di belakang sana pula para pegawai yang berdedikasi lagi komited mencatatkan setiap inti perbahasan yang menyangkut jabatan masing-masing.

Pertama, Turun Padang Mendengar Denyutan Nadi Rakyat

Ke Bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di dalam titahnya telah menyeru semua pemimpin di negara ini supaya mencontohi sikap YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sanggup turun ke padang untuk mendampingi rakyat bagi memahami masalah mereka.

Pujian diraja ini adalah pernyataan dan pengiktirafan jelas terhadap komitmen pimpinan kita yang mendokong gagasan 1Malaysia mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian. Ia seharusnya menginspirasikan kita semua dan semestinya menjadi contoh teladan dan ikutan dalam gerak kerja di setiap kawasan masing-masing.

Tidak dinafikan bahawa dalam tempoh 11 bulan menerajui kepemimpinan YAB Perdana Menteri telah memperkenal, melaksana dan menjayakan pelbagai program kesejahteraan rakyat menerusi agenda turun padang.

Justeru, untuk menentukan kejayaan dan keberkesanan agenda turun padang ini, adalah penting bagi seluruh jentera kerajaan, baik pimpinan politik mahupun penjawat awam, untuk mengembleng tenaga dan menggerakkan usaha secara bersama-sama, dan menjadikan rakyat sebagai sasaran keutamaan, demi mencapai matlamat yang satu.

Pimpinan kerajaan di bawah naungan YAB Perdana Menteri telah terbukti wibawa dan integritinya menahkoda zaman. Biarpun baru kira-kira setahun mentadbir, banyak perubahan dan kemajuan telah dapat kita saksikan. Pimpinan Perdana Menteri lebih banyak bekerja, daripada membuang masa berbicara seperti yang dilakukan oleh pihak pembangkang, yang terus-terusan berpolitik dan berpolemik.


Kecemerlangan dan keberkesanan kepimpinan tidak hanya terpancar daripada kepetahan seseorang pemimpin berbicara, melontarkan idea atau menabur janji, seperti kelaziman penampilan pembangkang. Sesiapa pun mampu bercakap atau beretorik panjang mengenai idealisme, perjuangan atau apa saja, namun belum tentu individu tersebut tahan diuji dengan cabaran di pentas realiti. Sudahpun terbukti di gelanggang politik, satu demi satu pemimpin berpaling tadah, meninggalkan perjuangan pembangkang yang sia-sia.

Bagi pimpinan kerajaan, komitmen kita cukup jelas, perjuangan kita terpancar indah. Kita merakyatkan setiap gerakan, berasaskan kepentingan sejagat, termasuklah berpaksikan kepada enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang perlu dicapai iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menambah baik pengangkutan awam, memerangi rasuah, mengurangkan kadar jenayah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah.

Lihat saja usaha dan langkah yang diambil oleh kerajaan, termasuk Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan yang dilancarkan pada 28 Januari lepas, yang merupakan suatu program cukup berani.

Natijahnya, marilah kita semua berdiri di belakang pimpinan yang teguh, jangan berpaut di dahan yang rapuh.

Tuan Speaker, Sipitang turut berkongsi rasa dukacita dengan Ke Bawah DYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, terhadap segelintir Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan Yang Mulia ini, terutama dari barisan pembangkang di seberang sana, yang mempamerkan tingkah laku yang tidak sepatutnya sebagai wakil rakyat, sehingga terbawa-bawa perasaan emosi dan amarah, mengungkit sensitiviti kaum dan agama yang tidak sepatutnya jadi bahan ejekan di dalam perbahasan.

Kedua, berkaitan Model Ekonomi Baru

Ke Bawah DYMM Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa langkah kerajaan memperkenalkan Model Ekonomi Baru (MEB) untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dan maju, adalah satu langkah berpandangan jauh. Sehubungan dengan itu, baginda menyeru semua pihak bersama-sama menjayakan matlamat tersebut demi negara yang tercinta ini.

Dalam konteks ini Tuan Speaker, Sipitang berpendapat pentingnya usaha diperkasakan untuk menentukan golongan Bumiputera terus menapak kukuh, tidak terpinggir dalam perlumbaan ekonomi global yang mencabar.

Sambil kita memberi penekanan kepada inovasi, kreativiti dan nilai tambah yang tinggi, adalah disarankan juga supaya soal kepentingan ekonomi Bumiputera kekal menunjangi apa saja bentuk pendekatan yang dilaksana, dengan mengambil kira pandangan serta keanggotaan dewan-dewan perniagaan Bumiputera dalam Majlis Ekonomi yang akan ditubuhkan kerajaan kelak.

Dengan berkongsi wawasan, pandangan dan aspirasi, bersama pakar-pakar ekonomi, termasuk dari luar negara, dewan-dewan perniagaan Bumiputera boleh mengambil peranan secara proaktif untuk meneroka dan mengilap segala potensi yang ada, dan Majlis Ekonomi tentu saja boleh menjadi wadah pembangunan ekonomi Bumiputera yang lebih efektif.

Jika ini dapat dilakukan, kita yakin dan optimis bahawa Malaysia boleh menganjakkan kedudukan ekonominya daripada sebuah negara yang berada pada peringkat pendapatan sederhana tinggi, kepada pendapatan tinggi.

Tidak dinafikan bahawa keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu dan Bumiputera menerusi pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah meningkatkan taraf hidup golongan majoriti, tetapi barangkali ada beberapa kesilapan, kelemahan dan kekurangan dalam pelaksanaannya, sehingga menyebabkan sasaran yang ditetapkan tidak melebar jauh. Di sinilah sebenarnya harapan disandarkan menerusi Model Ekonomi Baru yang kini diperkenalkan.

Bagi maksud yang sama, Tuan Speaker, penglibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tentu juga sangat penting, signifikan dan kritikal, kerana mereka turut menjadi penggerak kepada pertumbuhan tinggi. Kita memerlukan suatu model ekonomi baru, yang memberi impak dan kemajuan, kepada pekerja dan negara secara menyeluruh agar Malaysia memiliki daya tahan menghadapi persaingan era globalisasi.

Pakar-pakar ekonomi yang merumuskan Model Ekonomi Baru ini, hendaklah melihat jauh di pentas dunia yang luas, apakah prinsip dan mekanisme bersesuaian diaplikasi dalam persekitaran ekonomi Malaysia kini. Yang penting bukan istilah, tapi hasilnya. Biar apapun sebutan, yang penting adalah pencapaian. Di India misalnya, gagasan ekonominya dinamakan dasar pertumbuhan dengan kesamarataan, manakala di China disebut dasar pertumbuhan inklusif dan di Eropah pula dipanggil dasar pertumbuhan meluas. Malah, Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu dan Bank Dunia bersetuju bahawa tindakan affirmative diperlukan dan penting demi kestabilan rakyat. Disebutkan bahawa ketidaksamaan akan membawa kepada ketidakstabilan.

Model Ekonomi Baru harus juga menjenguk ke Sabah, Negeri Di Bawah Bayu, di seberang Laut China Selatan, dengan mengambil kira kedudukan geografi dan topografi, kepelbagaian budaya dan etnik, agar apa jua rumusan model tersebut kelak dapat dirasai dan dinikmati bersama.


Ketiga, Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10)

Tuan Speaker, tidak lama lagi kita akan melangkah ke fasa baru rancangan pembangunan, iaitu Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang mendekatkan kita dengan ambang Wawasan 2020. Tempoh 10 tahun mendatang ini merupakan jangkamasa cukup kritikal dalam rangka bagi Malaysia menempatkan diri duduk sebaris dengan negara-negara maju yang lain.

Sementara kita terus melangkah ke hadapan, jangan lupa juga menoleh ke belakang untuk melihat jejak-jejak yang telah ditinggalkan. Kerana hari-hari yang telah lalu merupakan pengalaman yang harus menginsafkan biarpun ia sudah menjadi sejarah.

Dalam konteks negeri Sabah misalnya, kami telah jauh tertinggal di belakang dari segi pembangunan di sepanjang perjalanan yang lampau. Sejak sekian lama, kami sekadar menjadi penonton pembangunan. Era pasca merdeka sangat perlahan pertumbuhan. Pertukaran kerajaan dan peralihan kepemimpinan telah melambatkan pembangunan, politiking dan `back-stabing' (dengan izin) pula telah merencatkan kestabilan. Kami hanya dapat bernaung di bawah Umno, berpayung di bawah Barisan Nasional kira-kira 10 tahun yang lalu.

Melangkah 10 tahun ke depan ini, kami menuntut lebih perhatian daripada Kerajaan Pusat. Kami telah menyediakan Halatuju Kemajuan dan Pembangunan Negeri dan melaksana Koridor Pembangunan Sabah (SDC) untuk mengangkat darjat martabat ekonomi dan negeri kami. Tetapi ia tidak mungkin terlaksana dengan jayanya tanpa dokongan dan sokongan dari Kuala Lumpur.

Bagi maksud ini, Sipitang ingin menyarankan agar dapat kiranya ditinjau-tinjau potensi ekonomi di sepanjang laluan Pan-Borneo dari sempadan Brunei-Sarawak, bermula di Sindumin, menganjur ke Beaufort, merentasi Papar hingga Kota Kinabalu. Teristimewa bagi Parlimen Sipitang, yang terletak dalam lingkaran BIMP-EAGA (Kawasan Pertumbuhan Asean Timur-Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina) iaitu berdekatan Brunei dan bersebelahan Wilayah Persekutuan Labuan, terdapat banyak potensi ekonomi yang boleh diteroka di situ. Bidang maritim dan pelancongan, minyak dan gas adalah antara yang boleh dimajukan.

Oleh yang demikian Tuan Speaker, Sipitang mencadangkan agar kerajaan mengkaji pembinaan pusat latihan atau pangkalan maritim di Sipitang yang terletak di antara Teluk Brunei dan Teluk Kimanis, dalam perairan Laut China Selatan, menghadap Pulau Labuan yang terkenal dengan status sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa (IOFC).


Memandangkan Sipitang juga terletak di antara laluan saluran gas minyak dan gas dari Bintulu, Sarawak ke projek SGOT Kimanis di Papar, maka adalah dicadangkan supaya potensi ini dimanfaatkan dengan membangunkan satu pusat pengagihan di kawasan ini menerusi pembinaan projek Labuan Supply Offshore Gas Pipeline, demi memenuhi keperluan di sekitar kawasan luar pesisir berdekatan, selain keperluan bagi daerah-daerah berjiran seperti Kuala Penyu, Beaufort dan Papar.

Dalam bidang pelancongan pula, terdapat potensi semulajadi hutan hijau tropika Borneo di Sipitang terletak di antara Long Mandulong hingga ke Long Pasia, sebuah penempatan indah di kawasan perbukitan didiami masyarakat minoriti Lundayeh yang terkenal dengan keindahan warisan budayanya.

Seiring dengan penerokaan segala potensi ini, maka keperluan dari segi keselamatan tidak harus dipandang remeh. Oleh yang demikian, saya sekali lagi mengetengahkan di Dewan Yang Mulia ini, saranan supaya balai polis Sipitang yang kini menumpang di flet kuarters anggotanya dinaik taraf. Seperti yang pernah saya sebutkan dalam perbahasan sebelum ini, adalah sesuatu yang menyedihkan, memalukan dan membimbangkan, dari segi imej dan aspek keselamatan, apabila balai polis sebuah daerah yang terletak di pintu masuk utama negara, hanya beroperasi dari bawah flet kediaman anggotanya.

Pada kesempatan ini, Sipitang merayu agar sudi apa kiranya Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri bertandang ke perkampungan kami nun jauh di pedalaman Sabah, untuk melihat keadaan sebenar balai polis kami, meninjau pemeriksaan keselamatan di kawasan sempadan, dan menjenguk anak-anak buah yang bertugas cukup berdedikasi siang dan malam.

Menjadi harapan besar kami agar projek menaik taraf balai polis Sipitang ini, yang dikategorikan sebagai kawasan luar bandar, dapat dipertimbangkan untuk diberi keutamaan dalam RMK-10, seiring dengan pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk mempertingkatkan infrastruktur asas luar bandar.

Keempat, gagasan 1Malaysia

Tuan Speaker, gagasan 1Malaysia merupakan konsep unik yang perlu diterima oleh semua pihak di negara sebagai lambang komitmen dan usaha oleh rakyat demi mencapai yang terbaik untuk negara. Simbol 1Malaysia adalah jenama hebat yang perlu disayangi oleh rakyat, lambang satu wawasan perjuangan memajukan rakyat dalam segenap lapangan.


Kini pelbagai program diatur dan dilaksanakan, bagi menyemarakkan lagi kempen memupuk kesedaran hingga ke peringkat akar-umbi. Program turun padang adalah antara pendekatan yang sudah sinonim kini.

Sipitang berpendapat usaha hendaklah dipergiatkan, tindakan mesti diperhebatkan bagi merealisasikan impian gagasan 1Malaysia ini demi mewujudkan masyarakat dinamik dan progresif, mengangkasakannya ke suatu tahap tertinggi, kerana kita tidak boleh lagi terus-terusan lena dalam zon selesa yang mengkhayalkan.

Seiring gagasan ini juga, kita hendaklah berusaha gigih melahirkan generasi harapan bangsa yang bersedia untuk menghadapi cabaran, lengkap dengan kecergasan fizikal, kelasakan mental dan kewarasan akal.

Malaysia yang progresif memerlukan anak muda yang kental, berkebolehan dan berkeupayaan tinggi dalam mengurus kepelbagaian serta berani mengambil risiko. Kekentalan fizikal dan akal fikiran di sini bermaksud pembentukan generasi pelapis yang berani meneroka, mengembara, melakukan sesuatu yang mengatasi kelaziman (unconventional) dan paling utama, berani untuk gagal.

Untuk itu, generasi muda terutama mereka yang berada di institusi pengajian tinggi, yang juga disebut menara gading atau menara ilmu, hendaklah disuntik dengan minda keinsafan supaya mereka gagah bersuara dan bertindak secara waras dan berkesan dalam lingkungan kewibawaan dan kesarjanaan dan sesekali tidak dibayangi oleh sebarang pengaruh luar yang memudaratkan.

Sipitang berpendapat bahawa 1Malaysia itu telah digagaskan sebagai satu formula yang menjadi prasyarat bagi memastikan aspirasi negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 tercapai. Marilah kita bersama-sama menjayakannya dengan mendokong nilai-nilai murni sebagai teras perpaduan, berpegang kepada sikap saling hormat-menghormati, Tawaddhu', kesederhanaan dalam tingkah laku dan tuturkata serta kebijaksanaan dalam sebarang keputusan dan tindakan.

Tuan Speaker, saya mohon menyokong!


Share |