Friday, June 4, 2010

Belia Akar Umbi Sipitang


MESRA…Sapawi sedang berbual dengan tetamu undangan yang di majlis makan malam tersebut

TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Yassin menyampaikan hadiah kepada Sapawi Salam salah seorang pemenang pertandingan di majlis tersebut.


SIPITANG: Persatuan belia dan persatuan bukan kerajaan (NGO) disaran agar mencari formula bagi mengubah pandangan negatif masyarakat terhadap mereka.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata masih ada sebilangan masyarakat berpandangan negatif terhadap persatuan belia dan juga NGO.

"Cari jalan atau formula bagi mengubah pandangan itu...perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana ia boleh menyebabkannya berpanjangan," katanya pada majlis makan malam bersama persatuan belia di sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pegawai Belia dan Sukan Sipitang Yassin Omar, Ketua Daerah Sipitang Arif Ismail, Pemimpin Kemajuan Rakyat Sindumin Abdul Rahman Mohd Noh, Penolong Pegawai Pembangunan Sipitang Zulkefli Ahmad.

Sapawi berkata persatuan belia perlu memperlihatkan matlamat dan tujuan penubuhannya menerusi aktiviti yang dilaksanakan.

Dalam hal ini, katanya, aktiviti itu harus dilihat oleh masyarakat sebagai aktiviti yang memberi manfaat.

"Kita bukan sekadar perlu bergerak aktif tetapi program yang dilaksanakan itu biarkan program yang membina dan dapat membentuk jati diri khususnya golongan belia," katanya dan menambah program seumpama ini penting kerana golongan belia merupakan aset penting negara pada masa akan datang.

Katanya sebagai pemimpin pelapis, amat perlu golongan belia didedahkan dengan ilmu yang bermanfaat dan bukannya program yang tidak memberikan faedah.

Sapawi juga berkata persatuan belia turut memainkan penting dalam pembangunan negara.

Beliau memberitahu kerajaan sendiri tidak membiarkan persatuan belia untuk bergerak sendirian tetapi turut memberikan bantuan.

"Pelbagai bantuan disediakan oleh kerajaan dan kerajaan mahu persatuan belia bukan sahaja bergerak aktif tetapi menjadi wadah ke arah membentuk golongan belia," katanya lagi.


Share |