Tuesday, June 29, 2010

Sapawi Sokong Pemansuhan UPSR dan PMR


BANTUAN…Sapawi diperhatihan oleh Hamdan dan Zainal menyampaikan bantuan KWAPM kepada salah seorang pelajar yang layak menerima di majlis tersebut.



RASMI…Sapawi memotong riben sebagai tanda rasmi pondok program pendidikan dadah sekolah tersebut.



SUMBANGAN…sapawi menyampaikan sumbangan program Skor A kepada Penyelia Kanan Ko-Kurikulum S.K Pekan Sipitang Lingam Osman di majlis tersebut.



PRIHATIN…Sebahagian ibubapa pelajar yang menerima E-kasih KWAPM di sekolah tersebut.



LAWAT…Sapawi melawat pameran mengenai penyalahgunaan dadah di majlis tersebut.


SIPITANG: Kesimbangan pendidikan antara luar bandar dan dalam bandar perlu diberi keutamaan dalam melaksanakan pemansuhan peperiksaan Penilian Menengah Rendah (PMR) dan juga Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata pencapaian pendidikan antara luar bandar dan dalam bandar masih jauh berbeza.

“Kita masih dapat melihat perbezaan itu di mana pencapaian pendidikan dalam bandar mengatasi pencapaian di luar bandar,” katanya pada majlis penyampaian E-kasih Kumpulan Wang Simpanan Pelajar Miskin (KWAPM) dan Program Skor A di Sekolah Kebangsaan Pekan di sini kelmarin.

Sambil bersetuju dengan cadangan pemansuhan PMR dan UPSR, Sapawi menegaskan pemansuhan itu berasaskan kepada kajian yang dilakukan.

Menurutnya kajian mengenai perkara itu pastinya turut meletakkan usaha mengimbangi pencapaian pendidikan di luar bandar dan dalam bandar.

“Kajian menyeluruh pastinya dilakukan sebelum cadangan pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu dinyatakan dan saya yakin kajian itu turut melihat kepada usaha mengimbangi pencapaian pendidikan antara luar bandar dan dalam bandar,” katanya.

Beliau berkata peperiksaan berasaskan sekolah penting untuk dilakukan dengan meletakkan keseimbangan pendidikan sebagai keutamaan.

Menurutnya perkara itu perlu diberi perhatian serius sebagai langkah mengimbangi pendidikan antara luar bandar dan dalam bandar.

Katanya jurang perbezaan perlu diperkecilkan “dan pada masa yang sama kita juga perlu memberi perhatian terhadap keseimbangan pendidikan akademik dengan skil kemahiran pelajar.”

Beliau berkata langkah itu adalah sebagai usaha melahirkan pelajar yang berpendidikan dan berkemahiran.

Menurutnya pelajar di sekolah teknik dan vokasional berupaya menyumbang ke arah pemikiran kreatif dan inovatif.

“Kita tidak menafikan pembangunan pendidikan berkembang dengan pesat dan cukup hebat tetapi kita harus melihat pengisian ilmu dan sahsiah diri pelajar perlu setara,” katanya dan menambah kerajaan mahu melahirkan generasi yang hebat sebagai pelapis kepimpinan keluarga dan negara.

Sapawi berkata pelbagai peruntukan telah disalurkan untuk memastikan pembangunan pendidikan berterusan dan perkara ini perlu diketahui serta disedari oleh ibu bapa dengan memastikan anak-anak menggunakan kemudahan itu dengan sebaik mungkin.

Katanya kerajaan masih meletakkan pendidikan sebagai agenda utama dan ibu bapa perlu menanamkan semangat dan keazaman anak-anak bagi berusaha mencapai kejayaan dalam pendidikan.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Sipitang Hamdan Tuah, Guru Besar S.K Pekan Sipitang Zainal Timbang, Ketua Daerah Sipitang Arif Ismail dan YDP PIBG S.K Pekan Sipitang Rafahi Salleh.


Share |