Thursday, July 1, 2010

Ucapan Perbahasan Di Parlimen


Ucapan perbahasan Ahli Parlimen P.178 Sipitang, Datuk Haji Bin Sapawi Hj Ahmad ke atas Ucapan Pembentangan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) oleh YAB Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Jun 2010

MUKADIMAH

Tuan Yang Dipertua

Pertama sekali, terimakasih diucapkan kepada Tuan Yang Dipertua, di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk sama-sama mengambil bahagian dalam perbahasan ke atas Ucapan Pembentangan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) 2011-2015 yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, di Dewan Yang Mulia ini pada 10 Jun 2010 yang lepas.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada YAB Perdana Menteri di atas pembentangan agenda pembangunan lima tahun ini, yang menghuraikan perancangan serta memperincikan strategi, untuk membawa Malaysia mara menyongsong menuju status negara maju, melonjakkan ekonomi ke tahap tertinggi, tanpa mengabaikan kepentingan rakyat sejagat, baik di bandar yang semakin makmur, mahupun di kampung yang masih mundur, di daerah yang terpencil yang serba kekurangan hingga ke skim-skim penempatan kecil yang menagih pembangunan.

Dengan bertemakan "Rancangan Kemakmuran Ekonomi dan Keadilan Sosial", suntikan peruntukan sebanyak RM230 bilion dalam RMKe-10 ini tentu saja mampu merubah dan membawa anjakan paradigma buat rakyat dan negara tercinta ini, kerana inilah agenda pembangunan terbaik pernah kita saksikan sehingga kini, yang dihulurkan oleh pimpinan kerajaan buat rakyat yang dihargai di bawah sana.

Dari reaksi umum dan komen spontan yang kita dengar menerusi kaca televisyen, dan yang kita lihat paparan dalam media arus perdana atau yang kita baca menerusi media alternatif, rata-rata rakyat menyambut baik serta mengalu-alukan pembentangan agenda pembangunan ini. Demikian juga penerimaan segenap pimpinan rakan-rakan seperjuangan, seangkatan dalam Barisan Nasional (BN), segala-galanya memancarkan keyakinan melihat sinar masa depan yang lebih cerah, setidak-tidaknya dalam tempoh lima tahun ke depan ini sementara kita mempersiapkan diri melangkah memasuki gerbang Wawasan 2020.

Secara umumnya, saya menyimpulkan bahawa agenda yang dihuraikan dalam RMKe-10 ini cukup komprehensif, menyeluruh, berwawasan dan inklusif, dengan mengambil kira kepentingan rakyat di seluruh negara, termasuklah kami di Sabah dan negeri jiran, Sarawak, dan pada masa yang sama, mengambil kira keperluan semasa dan cabaran-cabaran yang akan kita hadapi untuk tempoh lima tahun mendatang, seterusnya menjayakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Model Baru Ekonomi (MBE).

Sesungguhnya, saya yakin dan optimis bahawa RMKe-10 ini akan memberikan impak yang positif terhadap kemajuan negara kita, terutama sekali negeri Sabah yang sedang rancak dibangunkan menerusi pelbagai rancangan dan program, untuk meningkatkan lagi sosioekonomi rakyat.

Tuan Yang Dipertua

Oleh kerana masa yang terhad, dan lagi pula sudah ramai rakan-rakan Ahli Yang Berhormat sudah membahas dan mengupas mengenai pembentangan rangka pembangunan ini, maka saya ingin menumpukan perbahasan kepada tiga isu secara spesifik saja, seperti berikut:

PERTAMA, Infrastruktur/kemudahan asas

Tuan Yang Dipertua
Sabah negeri bertuah, dikenali Negeri Di Bawah Bayu, diakui sebagai "fixed deposit" yang banyak menyumbang kepada kekuatan kerajaan Barisan Nasional. Zaman gerhana telah berlalu, kini kami gembira mendapat kesamarataan yang dituntut selama ini biarpun mungkin belum sampai ke tahap maksimum. Dalam politik, kami menjadi anak bongsu Umno, bukan anak tiri yang lazim digambarkan sebagai sering terpinggir dalam filem-filem cereka Melayu lama.

Hari ini menjadi saksi tentang keprihatinan Kerajaan Pusat. RMKe-10 bukti tiada lagi peminggiran dua negeri di seberang Laut China Selatan. Hari ini, Sabah dan Sarawak yang berpayung di bawah naungan kerajaan Barisan Nasional (BN) semakin mendapat perhatian. Jelas dan nyata, terang lagi terserlah, menerusi rancangan pembangunan lima tahun ini, kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak telah diberikan peruntukan yang jauh lebih besar berbanding rancangan-rancangan pembangunan terdahulu.

Keutamaan diberikan dalam bidang-bidang kritikal, misalnya kemudahan infrastruktur di mana Sabah (dan juga Sarawak) masih terkebelakang fasa pembangunannya berbanding di Semenanjung. Penyediaan peruntukan pembangunan ini bukan sekadar manifestasi bahawa tiada lagi istilah "anak tiri" dalam konteks 1Malaysia, tetapi juga mencernakan usaha pelayanan menyeimbangkan jurang ketidaksamarataan yang diwarisi sejak bertahun lamanya.

Telah menjadi rahsia terbuka, selama berdekad yang lampau, Sabah dan Sarawak sering tercorot dalam carta pembangunan biarpun realitinya kedua-dua negeri yang diliputi hutan tebal mengatasi keluasan tanah Semenanjung ini paling kaya khazanah ekonominya, dari balak di tengah hutan hingga minyak di dasar lautan.

Sekadar mengimbas seketika, dalam RMKe-10 ini, Sabah dan Sarawak mendapat khabar gembira. Kami bakal memperoleh lebih banyak jalan baru dan kemudahan asas seperti air dan elektrik yang akan meliputi hampir seluruh negeri kami. Mengikut perancangan yang digariskan, jalan sepanjang 2,540km akan dibina di negeri kami, Sabah dan sepanjang 2,819 km lagi di negeri jiran kami, Sarawak.

Sesungguhnya, saya bagi pihak penduduk negeri Sabah mengalu-alukan perancangan ini dan berharap ia membawa dimensi baru buat kami di masa-masa terdekat ini. Penyediaan kemudahan jalan raya yang baik, biarpun tidak setanding lebuh raya di Semenanjung, sangat diperlukan bukan saja sebagai perhubungan antara tempat dan destinasi, tetapi lebih penting bagi rakyat membawa keluar hasil pertanian mahsul dan penternakan, produk kraftangan dan seumpamanya, yang merupakan sumber ekonomi utama masyarakat di perdesaan.

Sebagai Wakil Rakyat Sipitang, saya ingin menarik perhatian di Dewan Yang Mulia ini agar dapat kiranya kementerian dan agensi berkaitan mengambil perhatian terhadap keadaan beberapa jalan di kawasan Parlimen Sipitang, antaranya Jalan Lawas-Sipitang-Kota Kinabalu yang merupakan laluan utama dalam rangkaian Pan-Borneo, meliputi tiga negara, iaitu Sabah dan Sarawak (Malaysia), Brunei Darussalam dan Indonesia.
Jalan ini disebut sebagai lebuhraya, tetapi keadaannya tidak menyamai apa yang diistilahkan sebagai lebuhraya di Semenanjung. Kalau menaiki kereta di lebuhraya Semenanjung ini, kita boleh tertidur lena dalam kenderaan yang meluncur lembut, tetapi memandu menyusuri jalan kami ini boleh menyebabkan kita mabuk kerana kita bagaikan menaiki kapal yang sedang dilanda gelora di tengah lautan, lantaran jalannya yang berombak-ombak. Lebuhraya kami hanya satu lorong sehala, tidak seperti di sini yang sampai tiga lorong sehala. Lebuh raya kami tidak ada bahu dan pembahagi jalan, tiada tempat berhenti di tepiannya jika berlaku kecemasan. Kami hanya mempunyai satu dua tempat Rehat dan Rawat (R& R) yang sedang dibangunkan, tetapi tidak setanding R & R yang dimiliki Plus.

Mungkin agak payah menaik taraf lebuhraya kami seperti lebuh raya Utara-Selatan, mungkin agak mustahil bagi kami memiliki lebuhraya bertingkat. Mungkin juga sukar untuk membina tambahan lorong di kedua-dua hala lebuh raya kami dalam jarak waktu singkat RMKe-10 ini, tetapi memadai jika dapat dilakukan penyelenggaraan yang sebaik-baiknya terhadap jalan-jalan berombak ini, menyediakan bahu jalan yang sempurna sifatnya, meratakan jalan yang retak merekah, demi untuk kemudahan para pengguna jalan raya.

Kalau pun mungkin perhitungan dibuat bersandarkan analisis kesibukan trafik untuk menyelenggara sesuatu jalan, namun dalam konteks negeri kami, soal keselamatan pengguna harus diberi keutamaan. Menyedia dan menyelenggara jalan adalah satu kemestian, biarpun trafik dan lalulintasnya tidak sesibuk sebagaimana "rating" yang barangkali menjadi sandaran ukuran di Semenanjung ini.

Jalan-jalan kampung di kawasan Parlimen Sipitang masih banyak berkeadaan daif, sebahagiannya masih seperti keadaan asal sejak dibina sekitar tahun 1950-an lagi, antaranya Jalan Sungai Tiga-Mesapol, Jalan Pintas-Mendulong-Meligan, Jalan Kampung Karangan dan Jalan Mentulud.

Satu lagi jalan yang pernah saya kemukakan di Dewan Yang Mulia ini ialah Jalan Pantai-Mendulong-Meligan hingga ke Long Pasia, di mana saya merasakan, sudah tiba masanya supaya projek ini diberi keutamaan dalam RMKe-10 ini. Ia bukan saja menjadi laluan ribuan penduduk di perkampungan sepanjang jalan ini, tetapi di hujungnya adalah khazanah pelancongan sangat bernilai, iaitu kawasan tanah tinggi Long Pasia, suatu tempat berhawa dingin yang berpotensi untuk industri eko-pelancongan dan pertanian komersial tanah tinggi seperti di Cameron Highland. Di situ juga suku kaum minoriti Lundayeh berkampung yang masih mengekalkan amalan budaya dan tradisi nomad mereka.

Jika sebuah rangkaian jalan raya dapat dibina merentasi kawasan perbukitan dan banjaran di sini, saya yakin sungguh ekonomi penduduk di sepanjang laluannya akan berubah, pendapatan akan bertambah, pelancong akan berganda ramai untuk melihat khazanah semulajadi yang masih terpelihara kehijauannya, manakala pelabur akan ke sana untuk meneroka potensi yang boleh memberikan mereka untung lumayan.

Dalam rancangan RMKe-10 ini juga disebutkan tentang usaha kerajaan menyediakan akses bekalan air bersih kepada rakyat, dengan sasaran ditetapkan 98 peratus di Sabah dan 95 peratus di Sarawak, iaitu meliputi tambahan 112,700 rumah di Sabah dan 87,000 rumah di Sarawak.

Dalam hal ini, saya ingin menarik perhatian kepada kementerian dan agensi berkaitan, agar kami di kawasan Sipitang turut diberi perhatian sewajarnya. Jeling-jelinglah dan pandang-pandanglah kepada rakyat kami yang serba mengharapkan. Masih banyak penduduk di serata perkampungan terpencil bergantung kepada air sungai, perigi dan hujan, untuk makan, minum dan mandi.

Agak menyedihkan juga, di sesetengah perkampungan, saluran paipnya sudah tersedia, disambung terus ke rumah-rumah, tetapi apabila kepala paip dipusing-pusing, bukan air yang keluar tapi angin saja berdesing. Malang bertimpa, di penghujung bulan bil air pun sampai, sejumlah amaun perlu dibayar. Para penduduk tiada pilihan, terpaksa membayar "bil angin" kerana jika tidak, meter akan dikunci dan bekalan pun dipotong. Inilah derita sebahagian warga desa di Sipitang yang menuntut agar untung nasib mereka didahulukan, kemudian barulah pencapaian dibuat ukuran.

Seperkara lagi, saya turut mengalu-alukan langkah kerajaan memperhebatkan pembekalan elektrik di negeri Sabah, dan berharap agar Sipitang turut mendapat tempiasnya. Mengikut perancangan, kerajaan telah mensasarkan menerusi RMKe-10 ini agar 99 peratus kawasan mendapat liputan bekalan elektrik, dengan bekalan di kawasan pedalaman diperluas kepada 59,000 rumah di Sabah dan 76,000 rumah di Sarawak menjelang 2015.

Saya yakin perancangan ini akan menjadi kenyataan, sebagaimana diharapkan oleh kita semua, jika semua pihak bersatu tenaga dan mengembleng usaha merealisasikannya. Tinggi-tinggi harapan saya, setinggi Gunung Kinabalu, agar selepas tempoh sasaran yang ditetapkan ini, tidak ada lagi penduduk Sabah, khususnya di kawasan Parlimen Sipitang yang bercahaya sinaran sang bulan di malam hari atau lampu minyak tanah untuk menerangi teratak usang mereka yang berbumbungkan langit.

KEDUA, Pendidikan dan modal insan

Tuan Yang Dipertua
Dalam bidang pendidikan dan pembinaan modal insan pula, saya tertarik dengan usaha serta pendekatan pragmatik yang digariskan dalam RMKe-10 ini, yang mengutamakan soal kualiti dan menjurus kepada matlamat melahirkan modal insan bertaraf dunia.

Kami di Sabah kini berusaha mengejar jejak kemajuan dalam bidang pendidikan lantaran kami telah tertinggal sejak sekian lama. Kalau selama ini kita barangkali alpa dibuai kata-kata, tapi kini kami mohon agar dalam RMKe-10 ini kami tidak dilupakan. Usaha lebih serius dan tindakan lebih drastik perlu dilakukan, untuk menentukan pembangunan bidang pendidikan menjadi agenda keutamaan kita bersama.

YAB Perdana Menteri dalam ucapan pembentangan RMKe-10 telah menyatakan secara spesifik komitmen kerajaan untuk mempertingkatkan kemudahan pendidikan teknikal dan latihan vokasional, dalam usaha mengarusperdanakan bidang ini dan membolehkan lebih ramai pelajar menceburinya.

Sayugia saya memaklumkan di Dewan Yang Mula ini, betapa agak mendukacitakan kisah kami di bumi Sabah. Masih banyak sekolah-sekolah di Sabah, terutama yang terletak di luar bandar seperti Sipitang contohnya, tidak dapat mengakses kepada kemudahan ICT lantaran projek-projek makmal komputer banyak yang terbengkalai. Dan jika adapun yang siap dibina setelah kontraktor lama diganti baru, namun sebahagiannya tidak dapat digunakan berpunca daripada ketiadaan bekalan elektrik di sekolah tempat ia dibina.

Sambil isu ini ditangani, kita juga mengharapkan agar usaha diperhebat untuk memperkasa pusat-pusat kemahiran, umpamanya Pusat Giat Mara yang seharusnya diwujudkan di setiap kawasan Parlimen. Kami di kawasan Parlimen Sipitang menantikan kewujudan pusat ini sejak sekian lama di mana tanah untuk tapak sudah pun disediakan, cuma kini menunggu pelaksanaannya saja. Saya kira keperluan ini sudah sampai ke tahap mendesak, memandangkan kami mempunyai beberapa industri, seperti kilang kertas dan palpa Sabah Forest Industries (SFI) yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi, dan terbaru Sipitang dicadang dijadikan pusat industri minyak dan gas, dengan kerjasama Petronas, di mana semua ini akan menyaksikan tambahan keperluan tenaga kerja yang berkemahiran.

Dengan adanya Pusat Giat Mara itu kelak, ia juga mampu menyediakan keperluan modal insan, dengan inovasi dan kreativiti tersendiri, untuk daerah-daerah di pinggiran kami seperti Beaufort, Papar, Kota Kinabalu dan malah mungkin menjangkau sampai ke Wilayah Persekutuan Labuan.

KETIGA, Keselamatan
Tuan Yang Dipertua
Isu keselamatan ini cukup penting dan harus diberi penekanan sebagaimana disebutkan oleh YAB Perdana Menteri kita, di mana soal keselamatan dan ketenteraman awam akan dipertingkatkan kerana hasilnya memberi manfaat yang begitu berharga kepada rakyat.

Saya tidak mengulas panjang mengenai bab ini, tetapi Parlimen Sipitang berkongsi sentimen yang sama mengenai pentingnya isu keselamatan diutamakan, lantaran kami berada di kedudukan strategik pintu masuk utama pelancong dan pelawat dari Negara Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia, selain berkongsi sempadan dengan Lawas, Sarawak. Sudah beberapa kali di Dewan Yang Mulia ini, saya menyuarakan kegusaran tentang keadaan Ibu Pejabat Polis Daerah Sipitang yang menumpang di tingkat bawah flet polis, di mana ia memberi imej dan persepsi kurang elok terhadap jaminan keselamatan awam.

Di kesempatan ini, saya mengharapkan agar perkara ini diberi perhatian dan keutamaan dalam RMKe-10 seiring matlamat menjayakan apa yang dinamakan sebagai program "Safe Cities" membabitkan pengemblengan tenaga pelbagai agensi kerajaan yang diterajui Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menyentuh hal yang sama, saya juga ingin menarik perhatian di Dewan Yang Mulia ini agar melihat keperluan meningkatkan taraf Lapang Sasar Sipitang yang terletak di Kampung Banting, tidak jauh dari pekan Sipitang, di mana keadaannya agak mendukacitakan. Sewaktu saya melawat ke tempat tersebut tidak lama dulu, saya agak terkejut kerana jangkaan saya mengenai gambaran suasana di Lapang Sasar ini jauh meleset. Saya merasakan sudah tiba masanya usaha dilakukan untuk menaik taraf Lapang Sasar ini, kerana ia bukan saja menjadi lokasi latihan untuk daerah Sipitang, tetapi juga dari seluruh negeri Sabah memandangkan kedudukan yang strategik dan suasana yang dikatakan cukup ideal untuk latihan menembak.

PENUTUP

Tuan Yang Dipertua


Kejayaan terhadap apa yang dirancang kerajaan dalam RMKe-10 ini banyak bergantung kepada kita semua untuk menjayakannya. Seperti yang diungkapkan oleh YAB Perdana Menteri, semua orang ada peranan, sama penting dan sama mustahak. Malahan, YAB Perdana Menteri memberikan analogi sebuah pasukan bola untuk mencipta kejayaan dengan merujuknya kepada semangat Piala Dunia yang sudah pun bermula.

Justeru, saya mengambil ruang kesempatan ini untuk mengajak rakan-rakan Ahli Yang Berhormat, baik di barisan sini mahupun di barisan pembangkang, untuk sama-sama menjayakan agenda besar kerajaan demi kesejahteraan rakyat seluruhnya.

Wajarlah diketepikan sentimen politik yang sempit, tamatkanlah lakonan dan sandiwara politik yang tidak berkesudahan. Sebaliknya, marilah kita bersatu usaha, membulatkan tekad dan azam, mengukuhkan jalinan perpaduan seutuhnya. Perpaduan harus bermula di kalangan kita sesama pemimpin, kemudian melebar di kalangan parti-parti politik. Pentingnya, ikatan perpaduan ini perlu bersifat tulen, perlu bersifat ikhlas; kerana jika perpaduan itu hanya berbentuk sandiwara, hanya satu lakonan hidup, bersifat luaran semata-mata bagi tujuan pertunjukan, maka matlamat perjuangan kita untuk membela nasib rakyat tidak mungkin dapat dicapai, dan apa juga usaha, apa juga gerak kerja, pasti menjadi sia-sia.

Saya katakan demikian kerana apabila sandiwara selesai, apabila tirai dilabuhkan, para pelakon kembali dalam pakaian sebenar, meninggalkan panggung, meninggalkan watak yang dilakonkan, meninggalkan peranan yang dimainkan, masing-masing menuju ke destinasi berlainan, masing-masing dilamun impian tersendiri. Perjuangan politik melalui organisasi politik yang sedang kita dukung, baik di dalam BN mahu pun dalam pakatan pembangkang, tidak boleh berjaya jika para pemimpin terus-terusan mengamalkan budaya teater, budaya lakonan, budaya wayang kulit atau budaya makyung.

Sekian, saya mohon menyokong.

Share |