Monday, October 4, 2010

Elaun Guru Agama SAR Perlu Diselaras


KOMITMEN…Sapawi bersama Pegawai Perhubungan Parlimen Sipitang, Lumadan Matbali Musah (kanan) dan Amat Talip (Kiri) merakamkan dengan guru-guru agama SAR bagi Dun Lumadan sejurus sesi dialog tersebut.

BEAUFORT: Kerajaan diharap dapat mengambil langkah tertentu bagi menyelaraskan elaun guru agama yang mengajar di sekolah agama rakyat (SAR).

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata ketika ini e;laun guru tersebut dibayarkan berdasarkan jumlah pelajar yang ada di SAR.

“Bayaran itu dibuat setahun sekali secara berkapita sehingga ada guru terbabit menerima RM100 sebulan,” katanya selepas berdialog dengan guru-guru SAR di Pejabat Perhubungan Parlimen Sipitang kawasan DUN Lumadan di sini kelmarin.

Masalah elaun guru agama tersebut ditimbulkan sewaktu sesi dialog berkenaan dan Sapawi memberitahu ianya merupakan satu masalah yang telah lama berlaku.

Menurutnya perkara itu sememangnya diberikan perhatian dan ianya telah dikemukakan kepada kerajaan bagi mengambil langkah perlu mengatasi masalah tersebut.

“Apa yang terbaik ialah kerajaan mengambil langkah dengan menetapkan elaun bulanan kepada guru terbabit…kita mahu elaun itu selaras dan bukannya berdasarkan jumlah pelajar yang berdaftar di SAR.

“Kerajaan mempunyai kemampuan dan masalah seumpama ini perlu diberikan perhatian,” katanya lagi.

Selain isu elaun, masalah lain yang ditimbulkan ialah harga buku teks yang agak mahal dan Ahli Parlimen Sipitang itu memberitahu ia adalah salah satu punca mengapa ibu bapa enggan menghantar anak mereka ke SAR.

Katanya pelajar di SAR tidak menikmati kemudahan pinjaman buku dan buku teks tersebut perlu utnuk dibeli.

Menurutnya harga buku teks tersebut sewajarnya berpatutan sebagai usaha untuk menarik minat ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke SAR.

Beliau berkata dalam mengembangkan syiar Islam dan memastikan generasi masa depan memperolehi ilmu agama, perkara itu perlu diberikan perhatian.

“Kita bersimpati dengan guru dan juga ibu bapa…perkara ini sudah saya suarakan pada sidang Parlimen lepas dan akan mengemukakannya lagi kepada kerajaan,” katanya dan menambah pendidikan dan ilmu agama amat penting dalam melahirkan generasi masa depan yang berhemah tinggi

Share |