Wednesday, October 20, 2010

Raikan Bakal Haji Parlimen Sipitang


SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin menyampaikan sumbangan kepada Iman Rambang Mohd bakal haji daripada Dun Lumadan.

SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Ahmad menyampaikan sumbangan kepada Jafar Jalaf bakal haji daripada Dun Sindumin,

SIPITANG: Umat Islam yang akan menunaikan fardhu haji dinasihatkan agar menjaga imej negara apabila berada di tanah suci itu nanti.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata secara tidak langsung mereka umpama duta kecil negara ini.

“Fokus kepada usaha mengerjakan ibadah haji dengan sempurna dan ikutlah apa yang telah dinasihatkan oleh Lembaga Tabung Haji (LTH),” katanya pada majlis ramah mesra dan sumbangan kepada bakal haji Parlimen Sipitang di sini kelmarin.

Seramai 36 orang bakal haji dari Dewan Undangan Negeri Sindumin dan 33 bakal haji dari DUN Lumadan diraikan oleh Sapawi.

Sambil mendoakan kesemua mereka dapat menyempurnakan ibadah haji, Sapawi turut mengingatkan agar kesemua mereka sentiasa menjaga kesihatan diri.

Katanya perubahan cuaca mungkin menjejaskan kesihatan “namun LTH merupakan organisasi terbaik yang telah mendapat pengiktirafan.”

Menurutnya apa yang dinasihatkan oleh petugas LTH wajar dituruti kerana ianya adalah untuk kebaikkan mereka sendiri.

Katanya petugas LTH merupakan mereka yang berpengalaman dalam mengendalikan pengurusan jemaah haji.

“Salah satu cara untuk menjaga kesihatan ialah menjaga pemakanan…kita tidak mahu ibadah haji itu terjejas kerana masalah kesihatan,” katanya lagi.

Share |