Wednesday, November 24, 2010

Majlis Khatam Quran Dan Khatan Beramai-Ramai Murid KAFA Sipitang


CERIA…Sapawi diperhatikan oleh Matbali dan Jailani menyampaikan hadiah kepada salah seorang peserta berkhatan beramai-ramai di majlis tersebut.

MERIAH…Sapawi diperhatikan oleh Matbali menyiram murid-murid KAFA yang turut serta berkhatan beramai-ramai di majlis tersebut.

TEKUN…Sebahagian murid-murid KAFA Sipitang yang khatam quran memperdengarkan bacaan di majlis tersebut.

TERTIB…Sapawi (dua dari kanan) mendahului bacaan quran semasa majlis khatam quran beramai-ramai murid KAFA Sipitang.

TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Matbali dan Jailani menyampaikan hadiah kepada salah seorang pelajar KAFA yang telah khatam quran di majlis tersebut,

SIPITANG: Al-Quran merupakan kitab suci yang menjadi panduan kepada umat Islam bagi mencapai kecemerlangan dan juga kejayaan.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata kandungan yang terdapat dalam kitab tersebut berupaya membawa umat Islam mencapai kecemerlangan.

“Kerana itu kita bukan sahaja perlu tahu membaca tetapi juga memahami dan menghayati ayat-ayat yang terkandung dalam kitab suci itu,” katanya pada majlis khatam al-Quran dan berkhatan di Kampung Banting dekat sini kelmarin.

Seramai 61 orang menyertai majlis khatam al-Quran manakala 69 kanak-kanak pula menyertai program berkhatan.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Penyelia Kafa Sipitang Jailani Marhjah, Pegwai Perhubungan Parlimen Sipitang merangkap Naib Ketua Pemuda Umno Sipitang Matbali Musah, Pengerusi Biro Agama Pemuda Umno Sipitang Zulhaimi Asbi dan Iman Masjid Kampung banting Ramlan Tahir.

Sapawi menegaskan isi kandungan al-Quran itulah yang merupakan panduan sebenar-benarnya kepada umat Islam yang mahukan kejayaan dan juga kecemerlangan.

“Tiada panduan yang mampu atau sehebat al-Quran dan inilah ruang terbaik kepada umat Islam untuk berusaha mencapai kejayaan,” katanya lagi.

Bagaimanapun Sapawi menegaskan Islam turut menitikberatkan soal keharmonian antara umatnya dengan penganut agama yang lain.

Katanya Islam tetap menyarankan umatnya untuk saling bekerjasama dan membentuk persefahaman dengan mereka yang bukan beragama Islam.

Beliau juga memberitahu Islam turut meletakkan kebersihan dan kesihatan sebagai agenda penting kepada umatnya.

Menurutnya berkhatan bukanlah memudaratkan tetapi untuk kebersihan dan kesihatan diri umat Islam.

“Kecemerlangan dan kejayaan mampu dicapai dengan kita meletakkan kesihatan serta kebersihan diri sebagai keutamaan,” katanya lagi.


Share |