Sunday, January 2, 2011

KRT-X'Mas Di SFI Sipitang


SIMBOLIK…Sapawi bersama Nurul Akmalina, Sheik Jamaludin dan Sawal serta pengerusi KRT Sipitang menekan butang khas bagi menyalakan pokok krismas di majlis tersebut.




SIPITANG: Perpaduan dan persefahaman kaum bukan sahaja perlu dipertahankan tetapi perlu diteruskan.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata budaya itu perlu diserapkan kepada generasi muda dan akan datang.

“Kita menikmati keharmonian dan kemakmuran hasil daripada perpaduan serta persefahaman antara kaum…inilah yang membolehkan kita meraikan perayaan bersama-sama,” katanya pada majlis rumah terbuka sempena perayaan krismas di dewan Sabah Forest Industeris (SFI)dekat sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pengarah Jabatan Perpaduan dan Intigerasi Nasional Sabah Nurul Akmalina Shamsudin, Pengurus Besar Sumber Manusia Dan Pentadbiran SFI Sheik Jamaludin Sheik Asrodin dan Pegawai Perpaduan Sipitang Mohd Nor Sawal.

Sapawi berkata peranan menyerapkan budaya itu perlu dilakukan oleh generasi ketika ini agar generasi masa depan dapat meneruskan persefahaman dan perpaduan antara kaum.

Katanya keharmonian dan kemakmuran tidak akan mampu dinikmati jika budaya persefahaman serta perpaduan tidak diberi keutamaan.

“Gagasan 1 Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah antara usaha pucuk pimpinan bagi memastikan persefahaman dan perpaduan antara kaum diteruskan,” katanya.

Beliau berkata gagasan itu adalah yang terbaik dan perlu diberikan oleh sokongan oleh rakyat negara ini.

“Gagasan 1 Malaysia bukan gagasan untuk kepentingan politik tetapi untuk kepentingan rakyat,” katanya lagi.

Menurutnya sambutan perayaan keagamaan seperti krismas merupakan antara ruang terbaik ke arah mengeratkan lagi persefahaman serta perpaduan kaum.

Share |