LANCAR…Sapawi bersama Kamarlin dan Ahmad memegang bendera sembolik pelancaran pra Festival GATA 2011 di dataran Esplande Sipitang.
SOKONGAN PADU…Sebahagian ribuan rakyat Sipitang yang membanjiri dataran Esplande Sipitang di ambang 2011.
CERIA…Sapawi bersama sebahagian jemputan khas yang hadir di majlis tersebut.
MERIAH…Percikan bunga api mewarnai malam ambang 2011 di Sipitang.
TAHNIAH…Sapawi menyampaikan hadiah kepada Abdullah juara pertandingan karaoke bagi kategori Vateran di majlis tersebut.
SIPITANG: Pelbagai acara akan dirangka bagi memastikan Festival Gasing dan Tamu Besar (GATA) Sipitang 2011 disambut dengan lebih meriah.
Festival itu dijangka diadakan pada 1-3 Julai bagaimanapun tetap meletakkan persefahaman dan perpaduan kaum sebagai keutamaan.
“Pelbagai acara menarik bakal diadakan tetapi matlamat utama Gata tetap diberi keutamaan,” kata Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad.
Berucap pada majlis Ambang Tahun Baru 2011 di dataran Esplande Sipitang kelmarin, Sapawi memberitahu Gata pada tahun ini bakal menampilkan kelainan berbanding dengan sambutan pada tahun-tahun yang sudah.
Beliau memberitahu Gata pada tahun ini yang bertema 1 malaysia; 1 Budaya 1 Warisan dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri ataupun Timbalan Perdana Menteri.
Menurutnya selain Gata, pemimpin utama negara itu juga dijangka turut merasmikan Esplande Sipitang.
Mengenai sambutan majlis tersebut, Sapawi berkata kehadiran tahun baru diharap dapat meningkatkan lagi azam penduduk agar meningkatkan lagi persefahaman dan perpaduan yang sedia ada.
Katanya tahun baru juga diharap meningkatkan lagi keazaman bagi berusaha lebih gigih untuk mencapai kejayaan dan juga kecemerlangan.
“Persefahaman dan perpaduan yang wujud telah menghadirkan kestabilan politik yang membolehkan kita menikmati pembangunan serta kemajuan dengan harmoni dan makmur,” katanya lagi.