Tuesday, March 29, 2011

Perasmian Mesyuarat Berkelompok Cawangan-Cawangan Umno Sipitang


MESRA…Sapawi bersalaman dengan sebahagian ketua-ketua cawangan dan ahli Umno yang hadir di majlis tersebut.

CERIA…Sapawi dan Kamarlin bersama barisan pimpinan Umno Zon Bandar dan Merintaman hadir pada mesyuarat berkelompok tersebut.

SOKONGAN PADU…Sebahagian pimpinan dan ahli Umno Yang hadir pada mesyuarat Umno berkelompok Zon Weston, Lubok dan Lingkungan.

SEMANGAT…Sapawi bersama barisan pimpinan Umno Sipitang menyanyikan lagu Umno ketika merasmikan Mesyuarat Umno berkelompok Sindumin, Banting, Pantai 1 dan Pantai 2.

KEIKHLASAN…Sebahagian Wanita dan Puteri Umno yang hadir pada mesyuarat tersebut.

SINDUMIN: Transformasi politik perlu dilaksanakan bagi memastikan Umno terus menjadi tunggak Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan Umno Sabah Datuk Sapawi Ahmad berkata transformasi itu bukan hanya perlu dilaksanakan pada peringkat atasan tetapi juga kepada barisan kepimpinan akar umbi.

“Kekuatan dan kemantapan Umno bermula pada peringkat akar umbi…jika akar umbi kuat dan mantap maka perkasalah peringkat atasan,” katanya pada perasmian mesyuarat berkelompok cawangan-cawangan Umno Zon Sindumin, Banting, Pantai 1 dan Pantai 2 di dewan Sindumin kelmarin.

Sebelum itu Sapawi turut merasmikan mesyuarat berkelompok cawangan-cawangan Umno Zon Marintaman, Bandar, Weston, Lubok dan Lingkungan.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Sipitang berkata anggota Umno wajar berbangga dengan pengiktirafan Sabah sebagai fixed deposit BN.

Katanya pengiktirafan tersebut membuktikan usaha yang dilakukan oleh anggota Umno negeri ini memperlihatkan hasil.

“Ia turut memperlihatkan kejayaan kita dalam menanam kepercayaan dan keyakinan rakyat,” katanya dan menambah usaha gigih itu tercapai hasil komitmen dan kesungguhan anggota Umno pada semua peringkat.

Bagaimanapun Sapawi berkata tanggungjawab yang dipikul pada ketika ini ialah mempertahankan pengiktirafan itu.

Katanya bukan mudah mempertahankan pengiktirafan itu tetapi ianya bukan mustahil jika anggota Umno termasuklah pada peringkat akar umbi terus berusaha dan terus komited terhadap perjuangan parti.

Menurutnya dalam mempertahankan dan mengekalkan Sabah sebagai fixed deposit kepada BN, transformasi perlu dilaksanakan.

“Transformasi politik itu adalah untuk kita terus mendekati rakyat dan terus memperkukuhkan kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap Umno dan juga BN,” katanya lagi.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Timbalan Ketua Umno Sipitang Kamarlin Ombi, Ketua Penerangan umno Sipitang Ahmad Bujang, Ketua Wanita umno Sipitang Datuk Surinam Sadikun, Setiausaha Umno Sipitang Alidin Mohamad, Ketua Pemuda Umno Sipitang Yamani Hafez Musa dan Ketua Puteri Umno Sipitang Dayang Maimunah Sidek.

Share |