Tuesday, March 22, 2011

Rasmi Tilawah Al-Quran Zon Weston, Beaufort.


TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Pengerusi Masjid Pekan Weston SM Ahmad Pengiran Daud menyampaikan hadiah kepada Wahid Lasim pemenang tilawah yang mewakili zon Lumadan.

WESTON (Beaufort): Keharmonian dan kemakmuran yang dinikmati oleh rakyat pelbagai kaum dan anutan agama menjadikan negara ini sebagai role model.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata meskipun Islam sebagai agama rasmi di negara ini tetapi persefahaman dan perpaduan yang terjalin di kalangan rakyat pelbagai anutan agama membuatkan beberapa negara menjadikan Malaysia sebagai contoh.

“Inilah keistimewaan yang kita miliki dan wajar untuk dipelihara dan dikekalkan,” katanya ketika merasmikan majlis tilawah al-Quran peringkat Zon Weston di Masjid Weston di sini kelmarin.

Bagaimanapun Sapawi mengingatkan terdapat usaha pihak-pihak tertentu yang cuba menggugat keharmonian dan kemakmuran dengan membangkitkan pelbagai isu-isu agama yang berkait dengan soal perkauman.

Katanya keadaan itu perlu diawasi dan usaha pihak tersebut perlu dihalang dengan tidak memberikan sokongan.

Sapawi yang juga Ketua Umno Bahagian Sipitang menegaskan umat Islam perlu sentiasa bersatu padu dan mengekalkan perpaduan serta persefahaman yang sedia ada.

Menurutnya perpecahan di kalangan umat Islam hanya akan merugikan dan menjadikan Islam berdepan dengan kemunduran dan ketinggalan.

Beliau memberitahu al-Quran merupakan panduan terbaik kepada umat Islam untuk terus mencapai kejayaan dan kecemerlangan.

“Al-Quran adalah panduan terbaik kepada kita. Namun kita harus sedar untuk memperolehi panduan itu kita harus menyelongkar, memahami dan menghayati selain tahu membaca isi kandungan yang ada dalam kitab suci itu,” katanya lagi.

Sapawi turut menggesa agar umat Islam mempergiatkan lagi usaha bagi mendekatkan generasi muda dengan al-Quran.

Katanya masih ramai generasi muda yang bukan sahaja tidak tahu membaca tetapi berada jauh daripada al-Quran.

“Usaha perlu dipergiatkan dan diperhebatkan agar generasi muda bukan sahaja dengan al-Quran tetapi turut tahu membaca, memahami dan menghayati isi kandungan kitab suci itu.

“Apa yang lebih penting kita mengajak mereka untuk menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan mereka bagi mencapai kejayaan dan juga kecemerlangan,” katanya lagi.


Share |