BERSYUKUR…Sapawi bersama pemimpin dan penduduk sedang menikamati juadah sempena makan-makan tahunan Kampung Pantai Sipitang.
SUMBANGAN…Sapawi dierhatikan oleh Ahmad menyampaikan sumbangan beras dan wang saku kepada salah seorang yang layak menerima di majlis tersebut.
SIPITANG: Rakyat disaran agar tidak takut untuk mengemukakan pandangan dan cadangan yang membina kepada kerajaan.
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak menghalang rakyat untuk mengemukakan cadangan mahupun pandangan yang membina kerana ia membantu membangun dan memajukan negara ini demi kesejahteraan rakyat sendiri.
“Konsep 1 Malaysia meletakkan rakyat sebagai keutamaan dan rakyat harus tidak merasa takut bagi mengemukakan pandangan mahupun cadangan.
“Tetapi cadangan dan pandangan itu biarlah yang membina,” katanya pada majlis makan tahun 2011 di Kampung Pantai dekat sini kelmarin.
Majlis tersebut dianjurkan bersama oleh Komuniti 1 Malaysia Kampung Pantai, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan Umno Zon Pantai 1.
Sapawi memberitahu padangan dan cadangan yang membina itu akan diberikan perhatian serius dan tidak segera akan diambil.
Menurutnya dalam membina kemajuan dan pembangunan negara, pandangan serta cadangan membina rakyat sentiasa diambil kira.
“Apa juga perancangan yang dilakukan oleh kerajaan adalah berasaskan kepada cadangan dan pandangan daripada rakyat,” katanya dan menambah kerajaan mahu rakyat sentiasa puas hati dan turut berperanan dalam pembangunan dan kemajuan negara.
Sehubungan dengan itu Sapawi menasihatkan agar pemimpin masyarakat agar tidak merasa bimbang jika menerima pandangan dan cadangan daripada rakyat.
Katanya setiap pandangan dan cadangan itu hendaklah dinilai dan dikaji terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kita harus mendengar apa yang disuarakan oleh rakyat dan mengambil tindakan mengikut keperluan,” katanya lagi.
Hadir sama pada majlis tersebut wakil rakyat Sindumin Ahmad Bujang, Pegawai JASA Sipitang Buang Bulat, Ketua Anak Negeri Chemat Latip, Ketua Kampung Batu 7 Hamid Saban dan Pengerusi Pengajur merangkap ketua Umno Zon Pantai 1 Mohd Jaini Puasa.