Sunday, May 1, 2011

Nelayan Teluk Padas, Beaufort


TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Pengarah LKIM Sabah Jamaludin Osman menyampaikan sijil penghargaan kepada Jafar Tuah yang telah melangsaikan hutang pinjaman LKIM

SOKONGAN PADU…Sebahagian ahli persatuan nelayan teluk padas yang hadir di majlis tersebut.

BANTUAN…Sapawi menyampaikan cek hairat kematian kepada salah seorang balu persatuan nelayan Teluk Padas di majlis tersebut.

WESTON: Kaum nelayan perlu melakukan tranfosmasi minda bagi mencapai kemajuan dalam menjana ekonomi diri dan keluarga.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata transfomasi minda mengajak kaum nelayan untuk berfikir secara rasional, positif dan bersikap terbuka.

“Kerajaan Barisan Nasional sentiasa berusaha meningkatkan dan memajukan kaum nelayan dan antara usaha itu termasuklah menyediakan pelbagai insentif dan subsidi,” katanya pada majlis perasmian mesyuarat agung tahunan Persatuan Nelayan Teluk Padas di sini kelmarin.

Sapawi memberitahu kaum nelayan di negara ini menikmati pelbagai bantuan daripada kerajaan berbanding dengan kaum nelayan di negara-negara lain.

Katanya kerajaan amat prihatin dan ambil berat serta sentiasa mengangkat martabat kaum nelayan agar nasib mereka terbela dan tidak ketinggalan dengan masyarakat lain.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) Sabah Jamaludin Osman, Penolong Pendaftar Persatuan-persatuan Nelayan Malaysia Osman Latip, Pengerusi Persatuan Nelayan Teluk Padas Masri Latip dan Pegawai Perhubungan Parlimen Sipitang Matbali Musah serta lebih 700 ahli nelayan sekitar parlimen Sipitang.

Sapawi berkata kerajaan sentiasa berharap agar kaum nelayan akan mempergunakan insentif serta peluang yang disediakan untuk mereka.

“Kita mahu kaum nelayan sentiasa berdaya saing dan sentiasa berfikir ke hadapan dan tidak lagi lagi bekerja secara tradisional,” katanya.

Menurutnya kaum nelayan perlu menjadikan pekerjaan mereka sebagai perniagaan dan menjadikannya sebagai budaya serta berusaha memperhebatkannya.

Beliau berkata agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) adalah agensi untuk membantu kaum nelayan di negara ini.

Katanya LKIM turut memberi peruntukkan bagi membina jeti untuk pendaratan ikan dan ianya turut dibina di Weston dan Tanjung Pagar Sipitang.

Sapawi turut menggesa agar kaum nelayan membantu memajukan dan membangunkan persatuan nelayan di tempat masing-masing.

Beliau berkata ia boleh dilakukan dengan memberi sokongan kepada aktiviti dan program yang dianjurkan oleh persatuan.

“Ia memberi manfaat dan faedah kepada kaum nelayan sendiri,” katanya dan menambah kaum nelayan juga boleh menjual hasil tangkapan mereka terus kepada persatuan.

Menurutnya langkah itu adalah untuk membantu meningkatkan dana persatuan di mana ia memberi hasil kepada kaum nelayan yang menjadi ahli kepada persatuan.

Katanya sokongan daripada kaum nelayan juga mampu merealisasikan harapan serta impian persatuan.

“Ini termasuklah syor persatuan untuk mewujudkan perkampungan nelayan yang tersusun dan teratur…ia memerlukan sokongan daripada ahli yakni kaum nelayan sendiri,” katanya lagi.

Share |