Thursday, May 5, 2011

Seminar Pembangunan Sains Sukan, Sipitang


TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Penyuki dan Yassin menyampaikan sijil penyertaan kepada Rafahi Salleh di majlis tersebut.

CERIA…Sapawi merakamkan kenangan bersama perserta kursus sambil menunjukan isyarat 1 Malaysia di majlis tersebut.

TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Penyuki dan Yassin menyampaikan sijil penyertaan kepada Minor Mohmmad di majlis tersebut.


SIPITANG: Pengurusan yang baik turut memainkan peranan penting dalam usaha mencapai kejayaan.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata kegagalan sesebuah organisasi dalam pengurusannya akan turut mempengaruhi usaha yang dilakukan.

“Pengurusan yang gagal bakal memberi impak negatif kepada usaha kita untuk mencapai kejayaan dan ini termasuklah dalam bidang sukan,” katanya pada majlis penutupan dan penyampaian sijil seminar pendidikan dan pembangunan sains sukan di Dewan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini kelmarin.

Beliau berkata kejayaan beberapa persatuan sukan bukan sahaja bergantung kepada pencapaian atlitnya tetapi turut bergantung kepada pengurusan persatuan tersebut.

Katanya dalam memastikan setiap pengurusan organisasi itu baik, ia memerlukan sokongan daripada ahli-ahlinya sendiri.

Menurutnya tanpa sokongan dan dokongan ahli-ahlinya, organisasi tersebut tidak akan mampu mewujudkan pengurusan yang baik dan berkesan.

“Pengurusan yang berkualiti pastinya menjanjikan pencapaian yang membanggakan,” katanya dan menambah ketika ini sukan merupakan satu kerjaya yang boleh mendatangkan hasil yang lumayan.

Beliau berkata kerajaan sendiri memberi tumpuan kepada pembangunan sukan dan sentiasa mempertingkatkan pembangunan sukan di negara ini dari masa ke semasa.

Menurutnya sudah ramai atlit negara mencapai kejayaan membanggakan dan menjadikan sukan sebagai kerjaya mereka.

“Kita perlu bersikap positif dalam hal ini dan mempergunakan segala kemudahan yang disediakan,” katanya.

Katanya Sipitang sendiri sudah memiliki banyak kemudahan sukan termasuklah kompleks sukan dan juga gelanggang futsal.

Beliau berkata kemudahan itu perlu dipergunakan dengan sebaik-baiknya dan tidak dibiarkan atau dipersia-siakan.

Hadir sama pada majlis itu termasuklah Timbalan Setiausaha Tetap KBS Penyuki Matta, Pegawai Daerah Sipitang Latip Amat, Pegawai KBS Pedalaman BawahYassin Omar dan Pemimpin Kemajuan Rakyat Sindumin Abdul Rahman Mohd Noh.

Share |