Friday, July 1, 2011

'Pencegahan bukan untuk menakutkan rakyat'




SIPITANG 30 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan kononnya kerajaan cuba menakut-nakutkan rakyat dengan tindakan polis menyoal individu yang dipercayai terlibat dalam penganjuran perhimpunan haram Bersih 9 Julai ini.

Sambil menegaskan ia langsung tidak tergelincir daripada landasan demokrasi, beliau sebaliknya berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah dipilih secara sah dalam pilihan raya dan diberikan mandat untuk menjaga keselamatan negara daripada menjadi kucar-kacir.

"Mandat yang diterima ialah untuk menjamin keselamatan dan ketenteraman negara. Ini salah satu tanggungjawab kerajaan dalam sistem demokrasi berparlimen.

"Apa yang kita lakukan ialah melaksanakan amanah rakyat supaya tidak berlaku sesuatu kejadian yang boleh menjerumuskan negara kepada keadaan huru-hara, kehilangan dan kerosakan nyawa serta harta benda," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Festival Gasing dan Tamu Besar Sipitang 2011 di sini, hari ini.

Ditanya mengenai keperluan menguatkuasakan undang-undang darurat bagi menghalang perhimpunan haram itu, Najib menegaskan, ia terpulang kepada polis untuk melakukan yang terbaik demi keamanan dan ketenteraman awam.

"Ia terpulang sepenuhnya kepada polis untuk menimbangkan keadaannya kerana telah menjadi tanggungjawab mereka untuk menjaga keselamatan negara," katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, sebenarnya dalam sistem demokrasi yang diamalkan sekarang sudah mempunyai jaminan bahawa sesebuah kerajaan itu tidak boleh melampaui batas.

"Jika kerajaan BN melakukan sesuatu bersifat kejam dan zalim, maka rakyat akan bertindak dan mengajar kita. Dalam sistem ini kita tidak boleh langsung bersifat kuku besi kerana rakyat akan marah.

"Langkah pencegahan (halang demonstrasi jalanan) langsung tidak bermaksud kita jauh daripada amalan demokrasi kerana kerajaan akan tetap mengadakan pilihan raya dan ia sudah menjadi lumrah akan ada pihak yang menang dan kalah," katanya.

Tambah Najib, rakyat kena faham bahawa semua yang dilakukan oleh kerajaan adalah untuk kebaikan rakyat dan langsung tidak bertujuan menzalimi serta membangkitkan kemarahan rakyat.

Sumber : Utusan Malaysia
Share |