Friday, July 1, 2011

Tidak tunduk desakan Bersih




SIPITANG 30 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kerajaan tidak akan mengadakan pilihan raya umum lebih awal hanya kerana ingin memuaskan hati Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang mendesak sebuah pilihan raya bersih diadakan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak tertakluk dan akan tunduk kepada kumpulan itu kerana segala tuntutan mereka sebenarnya telah pun dijawab oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Ia hanya alasan Bersih kerana motif sebenar mereka adalah politik setelah bimbang melihat momentum sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) yang semakin meningkat.

“Jadi, mereka kena cetuskan sesuatu dan berharap akan berlaku sesuatu supaya boleh menuduh kerajaan zalim kepada rakyat,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Festival Gasing dan Tamu Besar Sipitang 2011 dan Esplanad Sipitang di sini, hari ini.

Terdahulu, Najib dalam ucapannya berkata, kumpulan Bersih bukannya mewakili suara majoriti, tetapi sebaliknya membawa agenda peribadi pemimpin tertentu pembangkang.

“Kalau diikutkan UMNO mempunyai tiga juta ahli, tidak ditambah dengan ahli parti-parti komponen BN lain.

“Mereka ini hanya menunggu isyarat sahaja untuk turut turun membanjiri Kuala Lumpur. Tetapi ini bukan cara kita untuk menyelesaikan masalah kerana kita mempunyai saluran terbaik lain,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan minimum sebanyak RM30 juta bagi membina Ibu Pejabat Polis Daerah Sipitang bagi menggantikan bangunan lama yang uzur.

Beliau juga meluluskan peruntukan segera sebanyak RM2.7 juta bagi menggantikan bumbung esplanad yang lebih berkualiti bagi menggantikan bumbung lama yang rosak dan mudah diterbangkan angin apabila angin ribut.

Ditanya mengenai gurauannya semasa pertemuan tertutup bersama Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen BN Sabah semalam bahawa lawatannya itu merupakan yang kali terakhir sebelum pilihan raya umum, Najib berkata, semua pihak tidak perlu mengambilnya dengan serius.

Beliau berkata, sesuatu pilihan raya bukannya perkara senang kerana ia amat perlu dibuat pertimbangan yang semasak-masaknya sebelum keputusan dibuat.

“Ia hanya gurauan, apa yang saya tekankan semalam adalah supaya semua pihak menguatkan persiapan jentera masing-masing termasuk menyelesaikan segala masalah dalaman yang berlaku dalam bahagian.

“Saya juga mengingatkan para pemimpin supaya mengutamakan kepentingan parti melebihi keperluan agenda atau lebih tepat lagi mendahulukan rakyat dalam segala perkara,” katanya

Sumber : Utusan Malaysia
Share |