Friday, July 1, 2011

Tarikh pilihan raya tak ikut kehendak BERSIH




2011/07/01

SIPITANG: Datuk Seri Najib Razak menegaskan keputusan bila pilihan raya umum akan diadakan tidak tertakluk kepada tuntutan BERSIH yang mempunyai motif politik untuk menakluk Putrajaya dengan cara kotor.

Perdana Menteri berkata, senarai tuntutan dikemukakan BERSIH hanya alasan untuk mengadakan perhimpunan haram, dengan harapan ia memberi gambaran seolah-olah Barisan Nasional (BN) semakin kekurangan sokongan walaupun hakikat adalah sebaliknya.

Najib berkata, kerajaannya yang dipilih rakyat memikul mandat mentadbir negara dengan jaminan keselamatan dan ketenteraman awam berdasarkan acuan sistem demokrasi berparlimen.

“Bagaimanapun, BERSIH berharap ada sesuatu berlaku (pada perhimpunan itu) supaya mereka boleh menuduh kerajaan sebagai zalim, bersikap kuku besi dan sebagainya.

“Itu tujuan sebenar mereka nak adakan perhimpunan. Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 tak dengar pula dakwaan pilihan raya tak bersih, masa pembangkang menang pilihan raya kecil pun, tiada, tetapi apabila BN menang, baru timbul macam-macam dakwaan.

“Kita mahu mengelak kejadian yang menjerumuskan negara ke kancah konflik, huru-hara, kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Festival Gasing dan Tamu Besar (GATA) Sipitang serta merasmikan Esplanade Sipitang di sini, semalam. Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Najib juga menegaskan jika mahu, beliau juga boleh mengerahkan tiga juta ahli UMNO untuk menentang habis-habisan golongan yang mahu mewujudkan kekacauan melalui demonstrasi jalanan.

“Kita (UMNO) ada tiga juta ahli, tidak termasuk parti komponen (Barisan Nasional).. tiga juta orang yang tunggu isyarat. Kalau semboyan dibunyikan, mereka juga akan berjuang habis-habisan... tetapi apakah itu cara yang bertanggungjawab,” kata Perdana Menteri ketika berucap kepada kira-kira 15,000 hadirin yang menyambut kunjungan beliau di sini, semalam.

Perdana Menteri berkata, apa yang dikhuatirinya ialah perhimpunan haram boleh mencetuskan perubahan sikap serta-merta atau kesan ‘mob psycho’ di kalangan mereka yang menyertainya.

Ditanya sama ada Undang-Undang Darurat akan digunakan sebagai langkah terakhir mengawal keadaan, Perdana Menteri berkata, terpulang kepada polis.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan peruntukan RM30 juta bagi membina Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang.

Di KOTA KINABALU, ahli keluarga Bakar Boso dan kira-kira 200 penduduk Kampung Likas gembira dan terharu apabila Najib berkunjung ke rumah keluarga itu di Kampung Likas Lama di sini.

Gembira kerana menerima kehadiran pemimpin tertinggi negara dan terharu kedatangan Perdana Menteri mengimbas kenangan kunjungan ayahanda beliau yang juga Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein ke rumah keluarga itu, 46 tahun lalu, pada 1965.

Sementara itu, Najib berharap rakan laman sosial Facebook beliau dapat memberi cadangan mengenai apa yang mereka inginkan dalam bajet yang akan dibentangkan pada Oktober depan.

Sambil melahirkan rasa gembira bertemu dengan 100 rakan laman sosial dari Sabah buat pertama kali, Perdana Menteri berkata dengan cara itu beliau mendapat gambaran apa yang diinginkan oleh rakyat.

“Kerajaan sentiasa berhubung dengan rakyat agar dapat memahami isu rakyat yang perlu ditangani. Jika ada sesuatu perkara yang besar hendak disampaikan seperti dalam bajet negara nanti, saya pun ingin menerima cadangan daripada rakan laman sosial facebook yang boleh dipertimbangkan,” katanya pada sesi ‘Mari Berjumpa Mari Berhubung’ dengan rakan laman sosial facebook dan twitter di Sabah, semalam.

Sumber : Berita Harian Online
Share |