TRADISI…Persembahan khas daripada Pentarama dan penari-penari daripada jabatan Kebudayaan dan Kesenian Sabah.
BERTENAGA…Persembahan khas oleh Bobby pada majlis pelancaran albumnya.
TERHIBUR…Barisan tetamu jemputan dan orang ramai yang hadir pada majlis tersebut.
BAND SADAMAN…Persembahan khas oleh Band Sadaman yang mengiringi penyanyi utama pada majlis pelancaran tersebut.
TEMA `Daie Sipitang Kuan Biskita’ yang melambangkan persefahaman dan perpaduan antara kaum dan menjadi tema kepada Festival Gasing dan Tamu Besar (GATA) Sipitang, kini boleh diikuti menerusi dendangan.
Lebih menarik tema ini dinyanyikan dengan berkonsepkan kayu (kulintangan) Sadaman dan dinyanyikan oleh anak tempatan Sipitang, Pangiran Sallehuddin Bin Pangiran Shamshuddin,26, yang juga dikenali dengan nama ‘Bobby’ yang merupakan pendatang baru dalam dunia hiburan negeri ini.
`Daie Sipitang Kuan Biskita’ diabadikan oleh Bobby, anak kelahiran Kampung Pengiran, Sipitang ini, sebagai judul utama album pertamanya yang dilancarkan oleh Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad, pencetus idea program GATA.
Pelancaran album itu menjadi penyeri kepada Konsert Sadaman sempena sambutan GATA Sipitang 2011 di padang pekan Sipitang.
Album ini memuatkan Sembilan lagu di mana kesemua lagu tersebut diiringi muzik tradisional yakni muzik kayu (kulintangan) Sadaman mengandungi pelbagai genre lagu seperti pop, balada, joget dan zapin.
Selain `Daie Sipitang Kuan Biskita,’ lagu lain termasuklah Di GATA Kita Dipertemukan, Seloka Maulana Maulani, Maiendu Diemu, Pantun Tuha Muda, Kasih Bukan Kekasih, Dendangan Lagu Brunai, Zapin Manganangmu dan Joget Melayu.
Penerbit Eksekutif Album pertama Bobby ini saudara Adi Pitang turut menampilkan dua artis jemputan iaitu AD’ Jeyzck dan Deno. Kedua-duanya juga anak kelahiran Sipitang.
Sapawi ketika melancarkan album itu menyifatkan Bobby mengambil tindakan berani dan semangat itu wajar diberikan sokongan dan dibanggakan.
Katanya Bobby tampil dengan album yang menampilkan lagu-lagu etnik ketika generasi ketika dihidangkan dengan lagu-lagu komersial.
“Kita bangga dengan penampilan berani Bobby yang bukan sahaja menampilkan lagu-lagu etnik tetapi turut mengangkat muzik tradisional iaitu kulintangan Sadaman,” katanya.
Album yang diterbitkan oleh YS Tunes itu menambahkan lagi khazanah lagu-lagu etnik negeri ini dan mampu menarik perhatian ramai.
Sapawi berkata album seumpama itu wajar dipergiatkan sebagai usaha memelihara lagu-lagu etnik dan muzik tradisional.
“Apa yang penting sokongan hendaklah diberikan dan saya yakin jika album seumpama ini diberikan ruang, ia mampu menarik perhatian ramai kerana lagu-lagu berkonesepkan etnik dan muzik tradisional ketika ini amat jarang ditemui,” katanya lagi.