SERAH…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin, Ahmad dan Latip menyerah replika kunci PPRT kepada salah seorang penerima di majlis tersebut.
SIPITANG: Bukan omong kosong tetapi Barisan Nasional (BN) adalah kerajaan yang bukan sahaja berkemampuan tetapi menunaikan segala janji untuk rakyat.
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata Kerajaan BN yang ditunggaki oleh Umno sentiasa berusaha untuk membangun dan memajukan rakyat.
“Dalam usaha kita memakmurkan negara, kita turut meletakkan rakyat sebagai perkara yang paling utama…kita mahu rakyat menikmati kemakmuran itu,” katanya pada majlis penyerahan kunci rumah dibawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Rumah Rehat kelmarin.
Sebanyak 13 buah rumah dibawah program telah siap sepenuhnya dan kunci rumah itu diserahkan sendiri oleh Sapawi kepada pemilik rumah berkenaan.
Sapawi memberitahu pelbagai usaha telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan demi kepentingan rakyat.
Katanya rakyat tidak perlu merasa curiga dengan janji yang diluahkan oleh BN kerana janji itu tetap dikotakan.
Menurutnya pelbagai bukti dapat dilihat oleh rakyat dan rakyat sendiri perlu sedar bahawa kerajaan sentiasa berusaha dan memberikan komitmen yang tinggi kepada kepentingan mereka.
Sapawi berkata dengan adanya rumah itu, adalah diharapkan sambutan Hari Raya Aidil Fitri yang bakal disambut nanti akan menceriakan kepada pemilik rumah berkenaan.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Adun Lumadan Kamarlin Ombi, Adun Sindumin Ahmad Bujang, Pegawai Daerah Sipitang Latip Ahmad, Ketua Daerah Lumadan Junli Yusof, Pemimpin kemajuan Rakyat Lumadan Ahmad Mumin dan Pemimpin Kemajuan Rakyat Sindumin Rahman Mohd Noh.