DUIT RAYA…Sapawi bersama pimpinan Umno Sipitang menyampaikan pek duit raya kepada kanak-kanak yang hadir di majlis tersebut.
LAYAN…Sapawi sedang melayan tetamu yang hadir ketika menikmati juadah rumah terbuka Umno Sipitang.
MERDEKA…Sapawi bersama pimpinan Umno Sipitang memotong kek sempena sambutan kemerdekaan yang ke-54..
SYUKUR…Sapawi bersama pimpinan Umno Sipitang mengaminkan doa ketika majlis rumah terbuka Umno Sipitang.
SOKONGAN…Sebahagian AJK Wanita Umno Sipitang merakamkan kenangan bersama Sapawi di majlis tersebut.
SIPITANG: Umat Islam disaran agar menjadikan kehadiran Aidil Fitri bagi menilai perpaduan dan persefahaman yang terjalin.
Ketua Umno Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata kehadiran Syawal bukan sekadar dilihat sebagai hari kemenangan kepada umat Islam sesudah menjalani pelbagai ujian ketika melakukan ibadah puasa pada bulan Ramadan tetapi Syawal juga membuka ruang kepada umat Islam melihat kesatuan yang sedia ada.
“Kehadiran Syawal sewajarnya memperlihatkan tentang pentingnya persefahaman dan perpaduan di kalangan umat Islam dan waktu inilah kita sewajarnya menyedari betapa pentingnya kesatuan,” katanya sempena Rumah Terbuka Umno Sipitang di sini kelmarin.
Sambil mengucapkan selamat menyambut Aidil Fitri, Sapawi berkata amalan bermaaf-maafan tidak harus hanya hadir pada kehadiran Syawal.
Ahli Parlimen Sipitang itu juga berkata Ramadan banyak memberikan pengajaran kepada umat Islam dan pengajaran itu harus dijadikan teladan.
“Ujian dan cabaran yang kita lalui sewaktu menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan mengajak kita untuk melihat tentang pentingnya kesatuan di kalangan umat Islam dan Syawal yang hadir dengan kita menyambut Hari Raya Aidil Fitri adalah untuk memperkukuhkan kesatuan itu.
“Kesatuan itu adalah persefahaman dan perpaduan sesama umat Islam dan mesejnya hanya kesatuan itu akan membawa kita kepada kejayaan dan kecemerlangan kerana kesatuan itulah juga yang akan memperkukuhkan Islam,” katanya lagi.
Beliau berkata pada Syawallah umat Islam saling bermaaf-maafan dan ini bukan sekadar amalan yang telah diwarisi tetapi ia juga tuntutan agama.
Bagaimanapun Sapawi berkata amalan bermaaf-maafan seharusnya tidak hanya hadir pada Syawal tetapi ianya bersifat berterusan.
Menurutnya jika amalan itu menjadi budaya di kalangan umat Islam sudah tentu keutuhan Islam tidak akan mudah untuk diganggugugat.
“Jangan kita bermaafan pada Syawal tetapi kembali bertelagah selepas itu…kita harus melihat lebih jauh kerana kita mahu Islam bukan sahaja dihormati tetapi terus cemerlang dan gemilang,” katanya lagi.
Beliau berkata umat Islam harus sedar ketika ini cabaran yang dihadapi begitu getir sekali dan strategi musuh Islam terarah kepada generasi muda.
Katanya amalan muafakat dan sepakat yang berintikan keikhlasan serta amanah wajar diserap kepada generasi muda.
“Amalan ini wajar kita wariskan kepada generasi muda agar mereka dapat menangani usaha musuh Islam untuk mepnegaruhi mereka,” katanya lagi.
Majlis yang dihadiri lebih 5 ribu orang itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Umno Sipitang Kamarlin Ombi, Ketua Penerangan Umno Sipitang Ahmad Bujang, Setiausaha Umno Sipitang Alidin Mohamad, Ketua Wanita Umno Sipitang Datuk Surinam Sadikun, Ketua Pemuda Umno Sipitang Hafez Yamani Musa dan ketua Puteri Umno Sipitang Dayang Maimunah Sidek Serta AJK Umno Sipitang.