SUMBANGAN…Sapawi bersama Kamarlin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang OKU di majlis tersebut.
SOKONGAN PADU…Sebahagian penduduk setempat yang hadir di majlis tersebut.
IKHLAS…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang warga emas dimajlis tersebut.
AGIH…Sapawi diperhatikan oleh kamarlin mengagihkan daging korban kepada salah seorang yang layak yang menerima dimajlis tersebut.
KORBAN…Sapawi dan Kamarlin bersama pimpinan setempat menyaksikan ibadah korban di Kampung Padas Damit.
PADAS DAMIT (Beaufort): Rakyat perlu mengambil sikap berhati-hati mengenai usaha pihak tertentu yang mahu menggugat keharmonian dan kemakmuran yang dinikmati ketika ini.
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata sudah ada pihak yang berani untuk mencetuskan huru hara dengan melibatkan rakyat negara ini.
"Antara usaha itu ialah dengan menganjurkan perhimpunan seperti Sexsualiti Merdeka 2011...mereka sengaja menganjurkan perhimpunan itu sebagai usaha untuk mencetuskan perbalahan antara kaum di negara ini," katanya pada majlis korban dan kenduri sekampung sempena sambutan Hari Raya Aidil Adha di sini kelmarin.
Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Adun Lumadan Kamarlin Ombi, Ketua Daerah Lumadan Junli Yusuf, Wakil Ketua Anak Negeri merangkap Pegawai Perhubungan Ahli Parlimen Sipitang Matbali Musah, Pengerusi Pelaksana Mat Jilin Salurin, Pengerusi Masjid Kariah Padas Damit Jokrie Abdul Marudin dan Ketua Bahagian PBS Lumadan Ruslan Muharam.
Sapawi berkata meskipun perhimpunan itu dibatalkan tetapi ia memberikan isyarat agar rakyat berhati-hati kerana ada pihak yang sememangnya mahu mencetuskan keadaan yang boleh menggugat keharmonian dan kemakmuran yang dinikmati ketika ini.
Katanya Sexsualiti Merdeka merupakan perhimpunan songsang yang bukan hanya bertentangan dengan agama Islam tetapi juga agama lain.
"Perhimpunan itu sengaja dibuat kerana mahu mengadudombakan rakyat agar membenci kerajaan...jika tindakan diambil mereka akan berusaha mempengaruhi rakyat dengan melontarkan pelbagai tuduhan.
"Hakikatnya kita harus sedar akan tujuan penganjuran tersebut dan menyedari ada pihak yang sememenangnya mahu menghancurkan keharmonian dan kemakmuran yang dinikmati oleh rakyat," katanya lagi.
Katanya pihak tersebut hanya mahu agar rakyat terpesong dan seterusnya membenci kerajaan sedangkan matlamat mereka hanya untuk kepentingan diri.
Sapawi menegaskan orang atau pihak yang bersikap sedemikian seharusnya memilih untuk tinggal di luar negara dan bukannya menjadi rakyat negara ini.
"Secara peribadi pada saya mereka ini seharusnya tidak dibenarkan tinggal di negara ini...mereka wajar disingkir dan tidak diberikan sokongan," katanya lagi.
Di majlis itu Sapawi dan Kamarlin menyampaikan sumbangan daripada Umno Sipitang kepada Warga Emas, Ibu Tunggal, Orang Kurang Upaya dan Mualaf.
Sebanyak enam ekor kerbau telah di korbankan untuk qariah masjid Padas damit termasuk sumbangan Sapawi , Kamarlin dan Ruslan serta juga individu.