Wednesday, December 14, 2011

Maal Hijrah & Titian Kasih Sipitang


SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Ahmad dan Latip menyampaikan sumbangan dari MAIWP Labuan kepada salah seorang ibubapa yang layak menerima dimajlis tersebut.



TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Ahmad dan Latip menyampaikan anugerah tokoh Maal Hijrah Sipitang kepada Ustaza Jamaah Omar di majlis tersebut.

SIPITANG: Umat Islam disaran agar melakukan transformasi bagi mencapai kejayaan dan kemajuan yang dicitakan.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata sesuai dengan sambutan Maal Hijrah, adalah wajar untuk umat Islam melakukan transformasi.

“Transformasi itu bukan hanya dari sudut fizikal semata-mata tetapi ia juga harus melibatkan pemikiran...umat Islam wajar keluar dari kepompong diri yang menyebabkan mereka ketinggalan,” katanya pada sambutan Maal Hijrah dan Program Kembara Titian Kasih di sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pegawai daerah Sipitang Latip Amat, Pengurus Besar Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan Ahmad Tramizi, Ketua Daerah Sipitang Ismail Arif, Pemimpin Kemajuan Rakyat Sindumin Abdul Rahman Mohd Noh dan Pegawai JHEAINS Sipitang Hafez Ahmad.

Sapawi berkata transformasi itu penting untuk dilakukan bagi memastikan umat Islam tidak ketinggalan, mundur dan mudah dipergunakan.

Katanya cara pemikiran lama yang mengongkong atau membataskan usaha umat Islam perlu diubah kepada cara pemikiran bagi mencapai kejayaan dan juga kecemerlangan.

“Umat Islam tidak harus menjadi penonton kepada kemajuan dan pembangunan yang dicapai di negara ini sebaliknya mereka juga harus memainkan peranan,” katanya lagi.

Menurutnya umat Islam tidak harus dibuai dengan kelekaan kerana ketika ini umat Islam boleh melihat akan adanya usaha untuk menggagalkan kehidupan mereka.

Beliau memberitahu musuh Islam sentiasa berusaha memastikan umat Islam tidak mencapai kemajuan dan juga kejayaan.

“Kerana itulah musuh Islam sentiasa mahu agar umat Islam terus dibuai dengan kelekaan,” katanya dan menambah ketika inipun sudah terlihat bahawa umat Islam ketinggalan dalam pelbagai bidang.

Katanya untuk mencapai kejayaan dalam bidang yang dikuasai oleh orang lain, umat Islam perlu melibatgandakan lagi usaha yang sedia ada.

Menurutnya umat Islam perlu menjadi umat yang berdaya saing dan inovatif, mampu menghadapi cabaran dan seterusnya berupaya mencapai kejayaan dan juga kecemerlangan.

Di majlis itu juga MAIWP Labuan telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM62 ribu berbentuk barangan antaranya Basikal, Baju Sekolah, Bantuan Beras dan Wang tunai kepada saudara baru.





Share |