Tuesday, December 13, 2011

UMS-Kolej Kediaman Indah Permai






KOTA KINABALU: `Usah lupa dengan kemudahan yang dinikmati dan diberikan oleh kerajaan.’

Nasihat itu dilontarkan oleh Exco Penerangan Sabah Datuk Sapawi Ahmad pada program gemilang siswa pewaris muda dan gemilang siswa penuntut Institut Pengajian Tinggi anjuran Jabatan Penerangan Malaysia di Universiti Malaysia Sabah di sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan Raymie Amiri, Pengetua Kolej Kediaman Indah Permai Prof. Madya Dr. Pia Kong Muhd Tuah, Wakil Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia Aaron Tan dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMS Khalil Sabu.

Sapawi berkata golongan mahasiswa merupakan aset penting kepada negara pada masa depan.

“Mahasiswa merupakan pewaris yang meneruskan kegemilangan negara,” katanya.

Beliau berkata terdapat segelintir mahasiswa menjadi penentang kepada kerajaan apabila menamatkan pengajian mereka.

Katanya sikap tersebut seharusnya tidak berlaku sekiranya mahasiswa mengenang apa yang diberikan dan disediakan oleh kerajaan untuk mereka.

“Pelbagai kemudahan diberikan oleh kerajaan dan kemudahan itu pula tidak dinikmati oleh mana-mana pelajar di negara lain,” katanya dan menambah kerajaan sentiasa berusaha memberikan apa yang terbaik untuk mahasiswa.

Sehubungan dengan itu Sapawi yang juga Ahli Parlimen Sipitang berkata program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia itu mampu memberikan kesedaran selain ilmu tambah kepada mahasiswa.

Menurutnya maklumat serta penerangan mengenai perancangan dan dasar-dasar kerajaan diharap mampu difahami oleh golongan mahasiswa.

“Kita tidak mahu ada mahasiswa terpengaruh dengan pihak-pihak tertentu yang melontarkan pelbagai dakyah dan fitnah kepada kerajaan.

“Kita juga tidak mahu golongan mahasiswa dipergunakan sehingga peranan yang sepatutnya mereka mainkan diketepikan,” katanya lagi.

Beliau memberitahu dengan memahami dan mengetahui akan dasar-dasar serta perancangan kerajaan, mahasiswa diharap dapat menyebarkannya kepada rakyat.

Katanya golongan mahasiswa memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan memperjelaskan mengenai dasar dan perancangan kerajaan kepada rakyat khususnya pada peringkat akar umbi.

“Jadilah mahasiswa yang bijak dan tidak mudah dipengaruhi dan dipergunakan…usah lupa apa yang telah diberikan oleh kerajaan,” katanya lagi.

a) SUMBANGAN…Sapawi menyampaikan computer riba 1 Malaysia kepada Yang Dipertua Pelajar Kolej Kediaman UMS Indah Permai Marina Mat Tusop.



Share |