Monday, December 26, 2011

Pecah Tanah Projek Bekalan Air Luar Bandar Di Long Pasia dan Meligan, Sipitang



SEMANGAT…Sapawi menyampaikan sumbangan set jarsi kepada wakil pasukan bola sepak wanita Kampung Long Pasia.

SUMBANGAN…Sapawi dan Ahmad menyampaikan sumbangan periuk nasi, mesin rumput dan peralatan sukan kepada Ketua Kampung Meligan Karani Langgub.

IKHLAS…Sapawi menyampaikan sumbangan kepada warga emas, Ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya yang menyambut perayaan Krismas di Kampung Meligan, Sipitang.

PECAH TANAH…Sapawi bersama Ahmad sedang mengorek tanah tanda sembolik majlis pecah tanah projek bekalan air luar bandar Kampung Meligan, Sipitang yang bernilai RM26 juta.

CERIA…Sapawi dan Ahmad menyampaikan sumbangan periuk nasi, mesin rumput dan peralatan sukan kepada Marong Padan Ketua Kampung Long Mio.

LONG PASIA (Sipitang): Projek pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mengetepikan kepentingan rakyat di kawasan luar bandar.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata kerajaan tidak hanya memfokuskan projek pembangunan di kawasan-kawasan tertentu tetapi ianya difokuskan kepada semua kawasan termasuklah di luar bandar.

“Kerajaan mahu agar semua rakyat dapat menikmati pembangunan yang dilaksanakan dan tiada yang diketepikan,” katanya pada majlis pemimpin bersama rakyat dan program pecah tanah loji air Kampung Long Pasia dan Meligan di sini kelmarin.

Beliau berkata Kerajaan BN bukan kerajaan yang mengamalkan sikap pilih kasih dan tidak pernah mengabaikan rakyat di luar bandar.

Katanya projek pembangunan itu termasuklah pembangunan instruktur dan juga pembangunan pendidikan.

Bagaimanapun Sapawi berkata pelaksanaan projek itu tidak dilaksanakan secara terburu-buru sebaliknya dilaksanakan mengikut keutamaan.

“Kerajaan mahu agar projek pembangunan yang dilaksanakan itu benar-benar mengikut keutamaan kepada rakyat…yang utama akan didahulukan tetapi yang lainnya tetap juga akan dilaksanakan,” katanya lagi.

Menurutnya projek pembinaan loji air di Kampung Long Pasia dan Kampung Meligan merupakan perkara yang penting untuk rakyat.

Katanya kepentingan logi air itu adalah untuk memastikan rakyat khususnya penduduk di kampung tersebut dapat menikmati belakan air dengan lebih baik dan sempurna.

“Atas kepentingan inilah projek pembinaan loji air dilaksanakan terlebih dahulu tetapi insfraktur yang lain tetap akan dilaksanakan,” katanya dan menambah kerajaan juga telah mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk melaksanakan projek pembangunan di luar bandar.

Di Sipitang saja, katanya, nilai projek bekalan air luar bandar telah mencecah RM170 juta, semua ini dibawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Projek Bekalan air Long Pasia bernilai RM10 juta sejauh 10 KM sedang berjalan sekarang mencapai tahap 50 peratus siap dan telah mendahului jadual awal pembinaan.

Keunikkan loji air tersebut apabila siap nanti bukan sahaja memberi kemudahan bekalan air kepada penduduk di Kampung Long Pasia dan Long Mio tetapi juga membolehkan mereka menikmati bekalan air tanpa perlu membayar bil. Ini adalah disebabkan loji tersebut menggunakan air graviti.

Manakala bagi projek bekalan air di Kampung Meligan pula yang bernilai RM26 juta yang mempunyai tiga kompenan seperti pembinaan seperti loji air, tangki simpanan air yang boleh menampung hingga 3 juta liter dan sistem perpaipan sejuah 20KM dan dijangka siap tahun depan.

Sementara projek bekalan air Kampung Ulau telah siap sepenuhnya bernilai RM56 juta.

Sapawi juga memberitahu projek bekalan air di Mukin Sindumin, Mukin Melalia dan Mukim Weston yang bernilai RM64 juta akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Menurutnya, apabila semua projek bekalan air luar bandar itu siap kelak penduduk Sipitang akan mendapat bekalan air dirawat meliputi 95 peratus.

“Kerajaan BN bukan kerajaan yang hanya tahu berjanji atau mengaburi mata rakyat tetapi Kerajaan BN adalah kerajaan yang mengotakan janji,” katanya dan menambah perancangan projek pembangunan Kerajaan BN juga adalah berterusan.

Menurutnya kesemua perancangan itu dilaksanakan dengan sokongan padu yang terus diberikan oleh rakyat.

Sehubungan dengan itu Sapawi meminta agar rakyat di kawasan itu tidak mudah dipengaruhi oleh pihak-pihak tertentu seperti parti pembangkang.

Katanya dakyah yang dilemparkan oleh parti pembangkang adalah fitnah yang tidak berasas dan sekadar mahu mengaburi rakyat.

“Adalah tidak benar dengan dakyah yang dilemparkan oleh pembangkang termasuklah kononnya saya sebagai Ahli Parlimen Sipitang dan wakil rakyat Sindumin, Ahmad Bujang tidak memerlukan sokongan daripada masyarakat Murut dan Lundayeh,” katanya dan menambah ia merupakan taktik pembangkang yang hanya mahu mengaburi mata rakyat.

Beliau berkata rakyat perlu berhati-hati dan sentiasa berwaspada dengan taktik yang digunakan oleh pembangkang.

Dalam pada itu Sapawi turut meminta agar penduduk setempat sentiasa memantau projek pembangunan yang dilaksanakan di kawasan mereka.

Katanya pengawasan itu adalah untuk memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan dengan baik dan seterusnya dapat dimanfaatkan oleh seluruh rakyat.

Beliau juga menasihatkan agar penduduk di kawasan itu terus mengekalkan semangat kerjasama, perpaduan dan persefahaman yang ada.

Menurutnya apa juga perbalahan atau berbeza pendapat, ia harus tidak berpanjangan dan sebaliknya diselesaikan dengan semangat kekeluargaan.



Share |