Wednesday, December 21, 2011

Uitm Rakan Muda





TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Pengarah JBS (P) Sabah Mohd Dahali Matsin dan Timbalan Rektot HEP Uitm Bakar Tatam menyampaikan hadiah kepada salah mahasiswa di majlis tersebut.

KOTA KINABALU: Golongan mahasiswa perlu bijak dalam membuat keputusan dan tidak mudah dipengaruhi serta dipergunakan oleh pihak tertentu.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata terdapat segelintir mahasiswa sanggup menutup peluang yang dimiliki disebabkan terpengaruh dengan dakyah serta fitnah pihak tertentu.

“Mereka sanggup mengorbankan segala peluang yang ada semata-mata untuk memperjuangkan kepentingan pihak tertentu,” katanya pada penutupan Karnival Rekreasi Rakan Muda MPP/SRM Peringkat Zon Sabah di Uitm, Menggatal dekat sini kelmarin.

Katanya kerajaan yang ada ketika ini tidak pernah menghalang pergerakan mahasiswa tetapi golongan mahasiswa perlu berfikir dengan bijaksana.

Menurutnya peluang yang diberikan kepada mereka untuk menimba ilmu tidak akan bermakna jika mereka tersilap dalam membuat keputusan.

“Kerajaan tidak mengabaikan golongan mahasiswa dan apa yang diharapkan oleh kerajaan ialah golongan mahasiswa ini tidak mengsia-siakan peluang yang diberikan.

“Golongan mahasiswa merupakan aset penting kepada negara pada masa depan tetapi mereka harus bijak dalam membuat keputusan dan tindakan agar tidak silap dalam membuat perkiraan,” katanya dan menambah ada pihak tertentu hanya mahu mempergunakan golongan mahasiswa itu bukan untuk kepentingan mahasiswa atau generasi muda tetapi untuk kepentingan diri sendiri.

Beliau berkata golongan mahasiswa harus sedar bahawa kerajaan Barisan Nasional sentiasa memberi perhatian kepada mereka dan tidak pernah mengabaikan kepentingan mereka.

Katanya apa yang dilakukan oleh kerajaan hanyalah mahu memberi kesedaran kepada golongan mahasiswa dan generasi muda agar mereka tidak dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu.

“Buat penilaian dengan bijaksana...sekali keputusan silap dibuat ianya bukan sahaja mengecewakan kerajaan dan negara tetapi juga keluarga...jangan mudah dipengaruhi dan jangan mudah dipergunakan,” katanya lagi.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pengarah Jabatan Belia Dan Sukan Persekutuan Sabah Mohd Dahali Matsin, Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Pelajar Uitm Cawangan Sabah Awang Bakar Awang Tatam, Penolong Pengarah Rakan Muda JBS (P) Sabah Senpini Langiton, Penolong Pendaftar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar Uitm Sabah Muhd Zahmi Janai dan Pegawai Sukan Uitm Sabah Wan Mohd Roslin Wan Embong.

Sapawi berkata bukan mudah untuk mendapatkan segala kemudahan dan perhatian seperti mana yang dilakukan oleh Kerajaan BN.

“Pembangunan golongan mahasiswa di negara ini adalah amat baik jika dibandingkan dengan pembangunan mahasiswa di negara-negara lain,” katanya.

Mengenai program itu Sapawi berkata ia memberi pendedahan dan ilmu bantu kepada golongan mahasiswa bagi menyiapkan diri untuk berada dalam masyarakat.

Katanya golongan mahasiswa perlu berada dalam masyarakat bagi memastikan kematangan dan kedewasaan mereka.

“Sebagai golongan terpelajar sudah tentu kehadiran mahasiswa dalam masyarakat diperlukan tetapi ia sudah tentu menghadirkan kekecewaan jika mereka hadir kerana dipergunakan oleh pihak tertentu,” katanya lagi.

a)



Share |