Friday, January 27, 2012

Doa Selamat Sempena Pelaksanaan Projek SAMUR Petronas Sipitang


DOA SELAMAT…Sapawi dan Ketua Pegawai Ekskuatif Apex Energy Esa Baharum (kiri)) bersama penduduk setempat sedang mengaminkan doa pada majlis tersebut.

SIPITANG: Pelaksanaan projek Sabah Amonia and Urea (SAMUR) Petronas bakal memberi impak positif terhadap pembangunan ekonomi di daerah ini.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata pelbagai peluang tentunya akan wujud hasil daripada pelaksanaan projek tersebut yang menjurus kepada pembangunan ekonomi.

“Peluang tersebut sudah tentu memberi kesan kepada usaha membangun dan memajukan Sipitang,” katanya pada majlis doa selamat sempena pelancaran SAMUR di masjid Kampung Banting di sini kelmarin.

Bagaimanapun beliau berkata peluang yang ada hendaklah diberi keutamaan kepada penduduk Sipitang.

Katanya ia termasuklah memberi keutamaan kepada kontraktor-kontraktor tempatan untuk turut sama terlibat dalam pelaksanaan projek SAMUR.

“Kita berharap peluang dan keutamaan diberikan kepada penduduk Sipitang termasuklah kontraktor-kontraktor tempatan yang ada di Sipitang,” katanya.

Menurutnya penglibatan itu sudah tentu membolehkan penduduk setempat merasa lebih akan impak positif hasil daripada pelaksanaan SAMUR yang bernilai RM4.6 billion antara projek yang terbesar di asia tenggara.

“Kita berterima kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah memilih Sipitang bagi pelaksanaan SAMUR…pelaksanaan projek itu memberi makna besar kepada rakyat Sipitang,” katanya lagi.

Sapawi juga berharap agar pihak pelaksana SAMUR turut tidak melupakan tanggungjawab sosial.

Sambil menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan SAMUR, beliau memberitahu rakyat di daerah tersebut harus tidak disisihkan sebaliknya turut dilibatkan.

“Kita memberi sokongan penuh atas pelaksanaan SAMUR dengan harapan rakyat tidak diketepikan…kita mahukan usaha yang dilakukan oleh kerajaan dinikmati oleh rakyat,” katanya lagi.

Bagaimanapun Sapawi berkata peluang yang disediakan harus tidak dibiarkan oleh rakyat sendiri.

Katanya peluang tersebut hendaklah dipergunakan dengan sebaik mungkin dan tidak akan dibiarkan.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Ketua Pegawai Ekskuatif Apex Energy Esa Baharum, Timbalan Presiden Kumpulan Apex Aris Abdullah, Pegawai Daerah Sipitang Latip Amat, Pegawai Apex Energy Tengku A. Rahman dan Penolong Pegawai Daerah Matlin Dullah.

a)



Share |