Thursday, January 5, 2012

Watikah Perlantikan JKKK/JKDB Dun Lumadan




MESRA…Sapawi diiringi oleh Kamarlin bersalaman dengan JKKK/JKDB, Ketua Kampung dan Wakil Ketua Anak Negeri yang hadir dimajlis tersebut.

SERAH…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin menyampaikan watikah perlantikan kepada Abdul Sani Bin Mokjin Pengerusi JKKK Kampung Mentulud di majlis tersebut.

SERAH…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin menyampaikan watikah perlantikan kepada Sabali Bin Rusnih Pengerusi JKKK Kampung Tuhu, Lupak, di majlis tersebut.

BEAUFORT: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu memainkan peranan sebenar dan mengamalkan sikap amanah.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata Kerajaan Barisan Nasional (BN) amat menghargai sumbangan yang telah dilakukan oleh JKKK.

“Penghargaan itu dapat dilihat apabila kerajaan memberikan kemudahan seperti menaikkan elaun yang berkuatkuasa awal tahun ini,” katanya pada majlis penyampaian watikah JKKK/JKDB dan taklimat pembangunan bagi Dun Lumadan di Dewan Perpustakaan di sini kelmarin.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Adun Lumadan Kamarlin Ombi, Ketua Daerah Lumadan Junli Yusuf, Pemimpin Kemajuan Rakyat Lumadan Ahmad Mumin dan Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO) Lumadan Abdullah Matrais serta seramai 15 pengerusi JKKK telah menerima watikah pelantikan bagi perkhidmatan dua tahun.

Elaun JKKK dinaikkan kepada RM400 daripada RM200 selain setiausahanya pula diberikan elaun RM200, elaun mesyuarat ahli jawatankuasa RM50 dan RM100 untuk operasi mesyuarat. Kesemuanya berkuatkuasa 1 Januari 2011.

Sapawi berkata sebagai organisasi yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat, JKKK bukan hanya perlu mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh rakyat di kawasan masing-masing bagi dikemukakan kepada pemimpin seperti wakil rakyat atau Ahli Parlimen tetapi juga wajar memberikan sokongan padu terhadap perancangan yang direncanakan oleh kerajaan.

“Jangan amalkan sikap yang bertentangan kerana itu bukan peranan yang diharapkan oleh kerajaan...sebagai pengantara kerajaan dengan rakyat, JKKK adalah `tempat pertama’ rakyat untuk membuat rujukan terhadap apa juga kemusykilan.

“JKKK perlu memberikan maklumat yang tepat kepada rakyat agar sebarang kekeliruan dapat diatasi,” katanya dan menambah antara peranan JKKK ialah memastikan setiap dakyah atau fitnah daripada pembangkang dapat ditangani dengan memberikan maklumat yang tepat dan benar kepada rakyat.

Beliau berkata rakyat tidak harus dibiarkan terpedaya atau terpengaruh dengan dakyah atau fitnah pembangkang “dan inilah antara tugas JKKK iaitu memastikan rakyat di kawasan masing-masing tidak diperbodoh-bodohkan pembangkang.”

Sebab itulah, katanya, JKKK perlu sentiasa dekat dengan rakyat dan terus menjadi penghubung yang amanah kepada wakil rakyat atau Ahli Parlimen BN.

Dalam pada itu Sapawi turut mengucapkan tahniah kepada JKKK Kampung Suasa yang dipimpin oleh Haji Ruslan Muharam yang mendapat anugerah desa cemerlang 2011 dan memperolehi hadiah RM4 ribu.

“Kejayaan itu amat membanggakan dan ini sudah membuktikan kerjasama dan persefahaman antara ahli jawatankuasa serta penduduk kampung, membolehkan anugerah itu diperolehi,” katanya dan berharap anugerah itu akan menjadi pendorong dan penaik semangat kepada ahli jawatankuasa JKKK kampung tersebut untuk terus pro-aktif dan terus meningkat.



Share |