Thursday, February 2, 2012

Budak Lima Tahun Rentung



Seorang kanak-kanak berusia lima tahun rentung apabila rumah yang didiami bersama keluarganya di Kampung Saga Laut,Tenom Sabah kira-kira 43 kilometer dari sini musnah dalam kebakaran kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa Nurzerlini Siaw maut akibat rentung apabila gagal menyelamatkan diri selepas terperangkap dalam sebuah bilik di rumah terbabit.

Difahamkan semasa kejadian, hanya mangsa bersama abang dan kakaknya berada di rumah itu kerana ibu mereka keluar manakala ayah mereka juga telah keluar bekerja.

Sebelum kejadian, mangsa dipercayai sedang tidur di dalam bilik berkenaan manakala abang dan kakaknya berada di ruang tamu.

Ketika rumah terbabit mula terbakar, kakak mangsa yang berumur 17 tahun dan abangnya yang berumur 6 tahun tidak sempat menyelamatkan mangsa kerana api dikatakan merebak dengan cepat.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Affendy K. Ramin ketika dihubungi berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.01 pagi.

“Seramai 15 anggota bersama sebuah jentera dan dua kenderaan utiliti kemudiannya bergegas ke tempat kejadian dan tiba pada jam 8.16 pagi. Setibanya di tempat kejadian pihak kami dimaklumkan bahawa ada seorang budak perempuan yang terperangkap di dalam rumah terbabit.

“Kerja-kerja memadamkan kebakaran kemudiannya diteruskan dan api berjaya dikawal pada jam 8.28 pagi,” katanya sambil menambah operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.45 pagi.

Menurutnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan manakala mayat mangsa telah dihantar ke hospital untuk tindakan selanjutnya.

Share |