Thursday, February 2, 2012

Tipu: Bekas pegawai Imigresen dipenjara 12 bulan, satu sebatan



Seorang bekas pegawai imigresen, dihukum penjara 12 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Tawau.

Penolong Pendaftar Mahkamah Tinggi, Ferhansha Farene Mohd Ferdaus menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Fauzi Alizaman Khan, 38, selepas mengaku bersalah menipu dan memperdaya membuat penyambungan pasport.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Kesiksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih satu tahun dengan sebatan dan denda.

Mengikut pertuduhan kes, tertuduh ditahan polis pada 31 Oktober 2011 kira-kira jam 7.10 petang di kawasan Pasar Rombengan Kg. Titingan di sini selepas mendapat aduan daripada pengadu.

Tertuduh didapati telah menipu dan memperdaya pengadu dengan mengatakan bahawa tertuduh merupakan seorang pegawai Imigresen di hadapan Restoran Alef Topan.

Tertuduh telah memperkenalkan dirinya sebagai Tuan An yang telah menggunakan baju vest terdapat tulisan lambang Imigresen.

Pengadu yang percaya dengan tertuduh telah bertindak memberi wang sebanyak RM6,650 bagi tujuan penyambungan pas kerja.

Namun pengadu berasa tertipu selepas pengadu bertindak mencari tertuduh.

Hasil siasatan tertuduh pernah berkhidmat sebagai pegawai Imigresen dengan jawatan terakhir sebagai pegawai pendakwa namun telah diberhentikan kerja selepas tidak datang selama tiga bulan berturut-turut.

Tertuduh dipercayai pernah berkhidmat sebagai pegawai Imigresen pada tahun 1993 hingga 2004.

Terdahulu, tertuduh turut disabit dan dijatuhkan hukuman atas kesalahan yang sama kerana memperdaya seorang wanita sebanyak RM1,370 bagi tujuan penyambungan pas kerja bagi tujuan kepentingan peribadi.

Mahkamah memerintahkan hukuman dijalankan secara serentak.

Kes pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Cif.Insp. Joan Lee.
Share |