Thursday, February 9, 2012

Bungkus Bayi Dalam Plastik



TAWAU: “Mujur kami meronda sejam sekali, kalau tidak bayi ini pasti jadi habuan anjing yang banyak berkeliaran di sini,” kata pengawal keselamatan, Fredly Suman, 40, yang menemui bayi perempuan masih bertali pusat ditinggalkan di kaki lima bangunan berhampiran pejabat Jabatan Air di Tanjung Batu, di sini, awal pagi semalam.

Menurut Fredly, dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, dia bersama rakannya, Umar Emat, 55, sedang melakukan rondaan di kawasan itu sebelum melihat satu bungkusan plastik di siar kaki bangunan terbabit.


“Pada mulanya, saya menyangka plastik ini berisi sampah dibuang penduduk atau digonggong anjing.

“Tetapi, sebaik membuka plastik ini, saya terkejut melihat wajah bayi yang comel,” katanya ketika ditemui, semalam.


Katanya, bayi perempuan itu kemudian menangis tanpa henti menyebabkan dia dan rakan membawanya ke pondok pengawal sebelum menghubungi polis.


Fredly berkata, dia melihat bayi itu seolah-olah kelemasan dalam plastik dengan berbantalkan kain batik ketika membuka bungkusan berkenaan.

“Sebaik dikeluarkan, saya lihat bayi ini masih bertali pusat namun keadaannya seperti sudah dimandikan dengan rambut disisir rapi serta tiada kesan darah di badan,” katanya.


Fredly berkata, sepanjang bekerja di kawasan itu sejak 18 tahun lalu, kejadian itu pengalaman pertamanya.

“Mujur saya cepat membuka ikatan plastik itu, jika tidak sudah pasti bayi itu akan mati kelemasan atau menjadi mangsa anjing liar,” katanya.


“Selama ini saya hanya membaca kejadian sebegini melalui media, tak sangka pula turut mengalaminya,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin berkata, polis yang menerima laporan bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.


Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, bayi itu dipercayai baru dilahirkan serta berada dalam keadaan sihat dan polis yakin ia baru ditinggalkan di kawasan itu sebelum ditemui pengawal keselamatan berkenaan.


“Buat masa ini, bayi yang cukup sifat ini ditempatkan di Hospital Besar Tawau dan berada dalam pengawasan pihak hospital,” katanya pada sidang media di pejabatnya.


Ibrahim berkata, polis sudah menjalankan siasatan termasuk menggunakan khidmat anjing pengesan dari Unit K9 bagi mengesan individu yang membuang bayi itu.


“Mereka yang bertanggungjawab perlu diberkas dan dihadapkan ke mahkamah.


“Polis meminta kerjasama mana-mana hospital, klinik bersalin atau mereka yang mengetahui kejadian ini supaya menghubungi polis dengan segera,” katanya.


Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 317, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya.

Sumber
Share |