Wednesday, February 1, 2012

JAIS Pantau Pusat Tahfiz | Berita Sarawak



KUCHING: Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) akan memantau dengan lebih dekat aktiviti-aktiviti pusat tahfiz di negeri ini bagi memastikannya menawarkan pengajian agama Islam berkualiti kepada pelajarnya.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, pemantauan juga penting untuk mengelak pusat tahfiz dipergunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau memberitahu bahawa semua pusat tahfiz di negeri ini diiktiraf oleh JAIS.

Bagaimanapun operasinya dipantau oleh sebuah unit khas di jabatan itu terutamadari segi keselamatan lokasi pusat berkenaan dan kokurikulum yang ditawarkan, jelasnya.

“Kita perlu memastikan tempat mengadakan tahfiz sesuai atau sebaliknya.

“Kedua kokurikulumnya mesti menepati keperluan semasa dan tidak menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

”Kita mahu melihat kalau mereka benar-benar berminat dalam bidang tahfiz biarlah ada kokurikulum yang baik, bukan sahaja menguasai tahfiz tetapi bidang-bidang pengetahuan lain kerana tahfiz hanyalah pengajian asas yang sepatutnya diperkukuhkan lagi dengan bidang pengajian lain,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau menambah, masa depan anak-anak yang menghadiri kelas tahfiz perlu diberi penekanan oleh pusat-pusat berkenaan kerana sebelum ini wujud situasi pelajar yang sudah menamatkan kelas tahfiz masing-masing tidak tahu di mana hendak melanjutkan pengajian mereka.

“Kita tidak mahu berlakunya situasi tidak tahu pangkal dan hujung, akhirnya anak-anak tersebut yang rugi,” ujar beliau.

Menurutnya tahfiz baik kepada anak-anak Islam tetapi selepas tamat kelas tahfiz mesti ada kokurikulum yang baik diikuti kerana kebolehan lain amat perlu untuk mempunyai kerjaya lebih kukuh.

Disebabkan itu katanya, Sarawak mewajibkan semua imam-imam di peringkat bahagian lulus tahfiz dan memiliki kebolehan-kebolehan lain.

Mengenai isu pelajar pusat tahfiz di Kedah yang diperalat untuk meminta derma daripada orang ramai, Daud yang juga pengerusi Lembaga Baitulmal dan Wakaf Negeri berkata, setakat ini pihaknya tiada menerima laporan berhubung perkara itu berlaku di negeri ini.

“Kita tidak menerima laporan mengenai perkara itu dan amat berharap ia tidak akan berlaku… isunya di Sarawak ialah ketidaksesuaian tempat untuk mengadakan kelas tahfiz serta tenaga pengajar yang bertauliah,” ujarnya.

Share |