Wednesday, February 1, 2012

TBS yakin mampu kumpul RM65 juta | Berita Sarawak




KUCHING: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) yakin mampu mengumpul pendapatan keseluruhan sekitar RM65 juta tahun ini berdasarkan pencapaian cemerlangnya sejak beberapa tahun lalu.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, sasaran antara RM60 juta hingga RM65 juta ditetapkan selepas TBS berjaya memperoleh pendapatan keseluruhan berjumlah RM60 juta tahun lepas.

“Kita sangat yakin dapat memperoleh pendapatan keseluruhan antara RM60 (juta) hingga RM65 juta.

“Tahun lepas kita mengumpul lebih RM60 juta… ini menunjukkan pendapatan Baitulmal sentiasa meningkat.

“Kalau mula-mula dulu pendapatan keseluruhan Baitulmal hanya sekitar RM5 juta setahun. Kini sudah mencapai RM60 juta… syukur dengan peningkatan ini kita akan dapat membantu lebih ramai lagi golongan memerlukan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan bantuan Tabung Baitulmal Sarawak di Dewan Saidina Umar Al-Khattab, Bangunan TBS di sini, semalam.

Daud yang juga Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur Sarawak berkata, peningkatan pendapatan TBS dari tahun ke setahun adalah disebabkan kepercayaan sepenuhnya diberikan oleh masyarakat Islam di negeri ini menerusi kesanggupan mereka membayar zakat terutama menerusi potongan gaji.

Ketika ini jelasnya pembayaran zakat menerusi potongan gaji sudah mencapai lebih kurang RM25 juta setahun berbanding hanya sekitar RM2 juta setahun sebelum ini.

“Terima kasih kepada pembayar-pembayar zakat di seluruh Sarawak yang memberi kepercayaan kepada Baitulmal begitu juga pegawai-pegawai kerajaan serta swasta yang beragama Islam kerana menerima pakai sistem pembayaran menerusi potongan gaji yang kita perkenalkan,” ujarnya.

Mengenai pengagihan bantuan Daud berkata, sehingga 31 Disember 2011 TBS telah mengagihkan bantuan sebanyak RM27.3 juta melalui tiga program utamanya iaitu Program Memperkukuhkan Tradisi Keilmuan (PMTK), Program Memantapkan Kebajikan Ummah (PMKU) dan Program Membangunkan Institusi Islam (PMII).

Sementara itu, pada majlis itu TBS mengagihkan dana zakat sebanyak RM60,600 kepada 50 penerima (49 individu dan sebuah organisasi) menerusi program PMTK, PMKU dan PMII.

Di bawah PMTK Bantuan Kemasukan ke institusi pengajian tinggi diagihkan kepada 24 penerima melibatkan jumlah keseluruhan RM27,725 manakala 10 lagi penerima bantuan ke Sekolah Agama Arab melibatkan jumlah keseluruhan RM23,211.

Bagi agihan di bawah PMKU iaitu bantuan rawatan dan perubatan sejumlah RM8,512 disediakan untuk diagihkan kepada 15 penerima manakala satu penerima menerima agihan PMII untuk bantuan aktiviti keagamaan dan keraian Islam dengan jumlah keseluruhan RM1,151.

Majlis penyerahan bantuan itu telah disempurnakan oleh Daud yang juga pengerusi Lembaga Baitulmal dan Wakaf.

Pada majlis sama, SME Bank menunaikan kewajiban pembayaran zakat perniagaannya sebanyak RM141,944 bagi tahun 2010.

Penyerahan zakat perniagaan itu telah disampaikan oleh Pengurus SME Bank Cawangan Kuching Mohd Hisham Atan kepada Daud yang mewakili TBS.

Hadir sama pada majlis itu Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Putit Matzen, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Abang Shamsudin Abang Seruji dan Pengurus Besar TBS Abang Mohammad Shibli Abang Mohd Nailie.

Share |