Saturday, March 24, 2012

Dua maut dalam kemalangan ngeri



LABUAN: Seorang pemandu dan penumpang kereta Proton Iswara maut apabilan kenderaan yang dinaiki mereka terbabas di tepi jalan berhadapan pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat di sini kelmarin.

Menurut seorang saksi iaitu pengawal keselamatan di jabatan berkenaan, kejadian berlaku kira-kira jam 4.16 pagi ketika beliau sedang bertugas.

“Ketika kejadian itu, saya terdengar bunyi kehadiran sebuah kereta yang begitu laju di jalan utama dari arah bandar dan terdetik di hati saya yang jika mereka ditakdirkan kemalangan pasti akibatnya amat teruk sekali.

“Selang beberapa saat kemudian, kemalangan itu benar-benar berlaku di mana kereta itu tergelongsor ke sebelah kiri jalan iaitu kawasan parit sebelum tersadai di hadapan bangunan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Sebaik melihat kejadian ngeri itu saya terus menghubungi talian 999 untuk melaporkan kejadian itu kepada pihak terbabit. Lima belas minit kemudia, pasukan bomba tiba diikuti oleh ambulan dan polis,” katanya.

Ketika kereta itu tergelincir di kawasan parit, kereta itu turut melanggar beberapa bahan konkrit yang dibina di kawasan terbabit.

Dua mangsa yang meninggal ialah pemandu dan penumpang yang berada di sebelah pemandu, manakala dua penumpang lagi yang duduk di bahagian belakang cedera parah dan kini sedang menerima rawatan kecemasan di hospital sini.

Menurut saksi utama kejadian ini, salah seorang yang maut terlebih dahulu terhumban keluar ketika kereta itu terbabas sebelum kereta malang itu tersadai di tepi jalan.

Kesemua empat penumpang (semua lelaki) kenderaan berkenaan, berumur lingkungan 17 hingga 22 tahun dipercayai pekerja di salah sebuah pusat hiburan di sini dan salah seorangnya dikenal pasti berbangsa Bajau tempatan manakala yang lain pemegang pasport Filipina.

Pengawal keselamatan terbabit berkongsi pengalamannya iaitu selama bertugas di waktu malam, sudah lima kali beliau menyaksikan kemalangan ngeri yang berlaku di kawasan itu.

Kawasan kejadian itu sememangnya terkenal sebagai kawasan kemalangan di mana sudah beberapa kali kejadian kemalangan ngeri berlaku di sana sejak sekian lama.

Pihak polis ketika dihubungi, menyatakan kesitu masih disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan.

by ADRIAN NANDU. Posted on March 23, 2012, Friday


Share |