Saturday, March 24, 2012

iLAP bakal jana RM3 bilion setahun




KOTA KINABALU: Projek Taman Akuakultur Udang Karang Bersepadu (iLAP) yang akan dibangunkan di perairan laut Pulau Timbun Mata, Semporna mampu menjana pendapatan RM3 bilion setahun apabila siap sepenuhnya pada tahun 2020.

Naib Presiden Kanan (Pembangunan Perniagaan) Darden Group, Kim Lopdrup berkata projek yang akan dimulakan pada bulan Julai tahun depan itu dijangkakan antara projek akuakultur yang terbesar di dunia jika dilihat dari segi nilai produktiviti.

Beliau berkata, pihaknya akan bermula dengan operasi perintis bagi memastikan segala perancangan yang ingin dilaksanakan berjalan seperti yang dirancangkan kemudian fasa perluasan akan dilakukan pada tempoh masa yang tertentu.

“Nilai jualan udang karang adalah sangat tinggi dan boleh dikatakan ia merupakan mempunyai nilai makanan laut yang tertinggi.

“Harga untuk satu paun udang karang lebih tinggi berbanding dengan harga satu paun udang…ini adalah satu peluang dan perniagaan yang besar di Sabah pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman di kediaman rasminya di Sri Gaya, di sini kelmarin.

Menurutnya, pembangunan projek itu perlu dilakukan dengan cara yang mesra alam dan pihaknya merupakan restoran yang pertama di dunia mengikuti segala syarat utama akuakultur dalam pengimportan produk. Jika terdapat dalam kalangan pengusaha yang tidak memenuhi syarat yang ditetapkan maka pihaknya tidak akan berurus niaga dengan pengusaha berkenaan.

Kim berkata, majoriti pemegang unit saham dalam projek itu akan dipegang oleh syarikat rakan kongsi Malaysia iaitu Eve Nexus (M) Sdn Bhd dan Yayasan Sabah.

Sementara itu, Pengarah Urusan Eve Nexus (M) Sdn Bhd, Dr Shahridan Faiez berkata pihaknya sudah memulakan aktiviti perintis dengan menyediakan sangkar di Semporna yang kini telah mengeluarkan hasil.

“Kami akan mengembangkan skala penternakan ini kemudian jika iLAP sudah menyiapkan infrasrtuktur asas barulah kami boleh memulakan penternakan.

“Pulau ini dipilih kerana jarak parameter penternakannya sesuai dengan projek itu…sudah banyak negara yang ditinjau seperti Filipina, Indonesia, Selatan Thailand dan negeri-negeri di Malaysia yang lain. Lokasi yang paling strategik adalah di Timur Sabah,” katanya.

Manakala, Presiden Darden Aquafarm Inc, Bill Herzig berkata dasar kerajaan Malaysia serta kehendak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ingin mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 mendorong mereka memilih Malaysia untuk melabur.

“Polisi dan strategi jangka panjang yang diamalkan oleh Malaysia serta Ketua Menteri yang ingin fokus terhadap pembangunan yang membuatkan kami memilih lokasi di sini.

“Kami akan mengekspot produk hasil tenakan ini ke seluruh negara Asia di samping mengekspot ke lebih 2,000 restoran kami di Amerika Utara,” katanya.

Tambahnya, projek itu juga akan dapat membantu pihaknya mengembangkan jenama restoran mereka di negara-negara Asia.
Share |