Saturday, March 10, 2012

Sukan Sekolah Rendah & Menengah Bahagian Selatan (Papar, Kuala Penyu, Beaufort & Sipitang)




JUARA…Sapawi bersama Salleh dan Rahman merakamkan kenangan bersama kontinjen Sipitang yang muncul johan pada kejohanan tersebut.

CERIA…Sapawi diiringi oleh Salleh dan Rahman menyampaikan cenderakenangan kepada ketua kotinjen Sipitang di kejohanan tersebut.

SIPITANG: Keaktifan generasi muda dalam bidang sukan perlu diberikan sokongan dan juga dokongan.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata sukan pada hari ini bukan sekadar aktiviti untuk kecergasan tetapi juga telah menjadi satu kerjaya yang mampu menjamin masa depan.

“Usah dihalang jika anak-anak kita aktif dalam sukan sebaliknya kita sebagai ibu bapa perlu memberikan sokongan, galakkan dan juga dokongan,” katanya pada Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-sekolah Bahagian Selatan ke-39 tang melibatkan daerah Papar, Kuala Penyu, Beaufort dan Sipitang sebagai tuan rumah di sini kelmarin.

Menurutnya sudah ramai yang telah menjadikan sukan sebagai kerjaya dan menikmati kehidupan yang selesa.

Ini kerana, katanya, sukan yang diceburi itu mampu mendatangkan sumber pendapatan yang lumayan.

Bagaimanapun Sapawi menegaskan kemajuan serta kejayaan sukan hendaklah diseimbangkan dengan kejayaan dalam pendidikan akademik.

“Memang perlu untuk kita memastikan anak-anak berjaya dalam pendidikan akademik selain cemerlang dalam sukan,” katanya lagi.

Sapawi juga berkata penglibatan generasi muda dalam sukan turut membimbing mereka untuk memupuk persefahaman dan perpaduan menerusi semangat kerjasama.

Katanya ianya juga mendedahkan mereka mengenai budaya daya saing yang positif dalam memburu kejayaan.

“Sikap selamba kita terhadap penglibatan anak-anak dalam sukan tidak harus diamalkan sebaliknya kita harus bersikap terbuka kerana sukan pada hari ini amat berbeza pada sukan dahulu.

“Banyak manfaat yang diperolehi oleh generasi muda menerusi sukan tetapi kita perlu sentiasa mengawasi dan memastikan mereka memperolehi sokongan serta dokongan,” katanya lagi.

Pada kejohanan tersebut Sipitang yang menjadi tuan rumah muncul sebagai juara bagi kategori sekolah rendah dengan meninggalkan Papar pada tempat kedua dan Beaufort pada tempat ketiga.

Manakala bagi kategori sekolah menengah Papar telah muncul sebagai juara dan tempat kedua dan ketiga masing-masing daripada daerag Kuala Penyu dan Beaufort.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Pegawai Pelajaran Beaufort Salleh Idris dan Penolong Pegawai Pelajaran Sipitang Abdul Rahman Awang Besar.



Share |