Friday, May 25, 2012

Watikah Perlantikan JKKK/JKDB Dun Sindumin



WATIKAH…Sapawi dan Ahmad menyampaikan watikah perlantikan kepada Jobitah Alai pengerusi JKKK Kampung Melaman di majlis tersebut.
WATIKAH…Sapawi dan Ahmad menyampaikan watikah perlantikan kepada Diris Kinin pengerusi JKKK Kampung Pisukau di majlis tersebut.

MESRA…Sapawi dan Ahmad bersalaman dengan sebahagian pengerusi JKKK dan JKDB yang hadir di majlis tersebut.

SIPITANG: Ketepikan sikap pentingkan diri sendiri dan hanya menumpukan semata-mata untuk mencari kesenangan.

Gesaan itu diluahkan oleh Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad pada majlis penyerahan watikah perlantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Kselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Kemajuan Dalam Bandar (JKDB) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin di sini kelmarin.

Sambil menyifatkan mereka yang dilantik untuk menjadi ahli JKKK dan JKDB sebagai orang yang dipercayai dan diyakini, Sapawi berkata sikap yang pentingkan diri sendiri dan hanya mahukan mencari kesenangan tidak harus diamalkan.

“Kita mahukan JKKK dan JKDB proaktif dalam semua aspek termasuklah persefahaman dan perpaduan…merekalah yang harus memainkan peranan dalam mentransfomasikan desa atau kampung atau kawasan yang diwakili,” katanya.

Seramai 38 JKKK dan JKDB menerima watikah perlantikkan itu di mana Sapawi turut mengumumkan peruntukkan RM1,000 untuk setiap tabung JKKK dan JKDB bagi DUN Sindumin.

Katanya setiap JKKK dan JKDB perlu memastikan keharmonian penduduk yang diwakili tidak diganggugugat oleh anasir-anasir yang tidak sihat khususnya daripada pihak pembangkang yang sentiasa mahu memecahbelahkan rakyat.

Menurutnya pengawasan dan kawalan perlu dibuat “dan cara yang terbaik ialah mengikat persefahaman yang jitu dengan penduduk yang diwakili.”

Beliau memberitahu kemajuan dan keharmonian sesebuah kampung bergantung kepada kebijaksanaan JKKK dan JKDB.

“Inilah antara lain peranan dan tanggungjawab JKKK dan JKDB selain menjadi pengantara antara kerajaan dengan rakyat,” katanya lagi.

Sapawi berkata sebagai menjadi pengantara, mereka mestilah sentiasa tahu akan maklumat dan fakta yang sebenar.

Katanya maklumat dan fakta sebenar boleh diperolehi menerusi agensi kerajaan dan juga para pemimpin setempat.

“Jangan jadi JKKK dan JKDB yang sama sekali tidak mempunyai maklumat atau fakta yang benar…sebarang isu yang dilontar hendaklah dipastikan kebenarannya dan jangan mudah dipengaruhi dan diperdaya.

“Kerajaan menerusi jabatan dan agensinya malah barisan kepimpinan sentiasa membantu, rujuk dan dapatkan maklumat dan fakta yang sebenar,” katanya lagi.

Bagaimanapun beliau mengingatkan agar maklumat dan fakta yang benar itu hendaklah disebarkan kepada penduduk yang diwakili agar mereka tahu perkara yang sebenar.

Jangan tahu, katanya tetapi enggan untuk menyebarkannya kepada penduduk kampung sehingga mereka terpengaruh dan dipercaya.

“Kita tidak mahu ini berlaku…setiap maklumat yang benar dan diperolehi hendaklah disampaikan kepada rakyat…kita tidak mahu rakyat diperbodoh-bodohkan oleh pihak pembangkang,” katanya lagi.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah wakil rakyat Sindumin Ahmad Bujang, Wakil Pegawai Daerah Sipitang Zulkefli Ahmad, Pemimpin Kemajuan Rakyat Sindumin Rahman Mohd Noh dan Pegawai Kemajuan Masyarakat Sindumin Richard Kamtan.

Share |