Friday, May 25, 2012

Anugerah Kecemerlangan Pelajar SPM & STPM DUN Sindumin



DIHARGAI…Sapawi diperhatikan oleh kamarlin menyampaikan anugerah jasamu dikenang kepada guru bersara Abdul Rahman Moktal.
KENANGAN…Sapawi dan Kamarlin merakamkan kenangan bersama guru, ibubapa dan pelajar cemerlang di majlis tersebut.
ANUGERAH…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin menyampaikan anugerah kecemerlangan pelajar SPM kepada Nur Fasehah Fauzi daripada SMK Pangiran Omar, Sipitang.
ANUGERAH…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin menyampaikan anugerah kecemerlangan pelajar SPM kepada Dell Walter daripada SMK Padang Berampah, Sipitang.
TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Kamarlin menyampaikan anugerah kecemerlangan pelajar STPM kepada Ribed Vianneca W. Jublee daripada SMK Pangiran Omar.

SIPITANG: Seseorang yang mahu mencapai kejayaan perlu bersedia untuk menghadapi dengan pelbagai cabaran.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata bukan mudah untuk seseorang mencapai kejayaan.

“Kejayaan tidak akan dapat dicapai tanpa adanya cabaran dan seseorang perlu bersedia berhadapan dengan cabaran untuk mencapai kejayaan,” katanya pada majlis anugerah kecemerlangan pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan Sijil Pelajaran Malaysia 2011 peringkat daerah di sini kelmarin.

Seramai 16 pelajar yang mencatatkan kecemerlangan dalam peperiksaan STPM dan SPM menerima anugerah tersebut.

Sapawi memberitahu pelajar yang mencapai kejayaan bukan sahaja perlu berusaha gigih tetapi juga bersedia berhadapan dengan pelbagai cabaran.

“Persediaan yang dibuat termasuklah dari segi mental selain ketahanan diri,” katanya. “Tanpa adanya kesediaan seseorang pelajar itu sudah pasti akan tewas dan seterusnya gagal mencapai kejayaan.”

Sambil mengucapkan syabas, Sapawi melahirkan harapan agar pelajar yang cemerlang itu akan menjadi contoh kepada pelajar yang lain.

Katanya kesemua pelajar tersebut telah membuktikan bahawa kejayaan turut mampu dicipta oleh pel;ajar yang belajar di luar bandar.

“Kejayaan boleh dicapai di mana-mana sahaja asalkan kita berusaha gigih dan bersedia berhadapan dengan cabaran,” katanya lagi.

Beliau berkata pelajar di negara ini cukup bertuah kerana memiliki kerajaan yang begitu mengutamakan soal pendidikan.

Katanya Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha memastikan kemajuan dan pembangunan pendidikan di negara ini seimbang dengan kemajuan dan pembangunan dunia.

“Usaha yang dilakukan oleh Kerajaan BN bersifat berterusan…pelbagai kemudahan pembelajaran termasuklah kemudahan prasarana pendidikan disediakan oleh kerajaan.

“Untungnya pelajar negara ini tidak mampu dinikmati oleh pelajar di negara lain dan inilah yang harus dipergunakan sebaik-baiknya oleh pelajar,” katanya lagi.

Sapawi yang juga bekas pendidik berkata program pendidikan di Sipitang akan terus diberikan sokongan dan dokongan.

Katanya pembangunan dan kemajuan pendidikan turut menjadi agenda utamanya sebagai Ahli Parlimen Sipitang.

“Agenda pendidikan tetap menjadi keutamaan dan kita mahu pelajar di kawasan Parlimen Sipitang akan terus mencatatkan kecemerlangan,” katanya lagi.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah wakil rakyat Lumadan merangkap Pengerusi Biro Pendidikan Umno Sipitang Kamarlin Ombi, Penolong Pegawai Pelajaran Sipitang Hamdan Tuah, Yang Dipertua Majlis Guru-Guru Besar Sipitang Asli Mokhsin dan Pengetua SMK Sindumin Nurulasikin Abdul Taib.

Share |