Sunday, July 8, 2012

Felcra Ulu Sipitang Dapat Dividen RM1 Juta Tahun Lalu.

SUMBANGAN…Sapawi menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pesrta felcra Berhad Ulu Sipitang yang layak menerima di majlis tersebut.
KENANGAN…Sapawi bersama Ahmad dan Jamaludin merakamkan kenangan bersama Ahli Jawatankuasa kemajuan Felcra Berhad Sipitang.
TAHNIAH…Sapawi diperhatikan oleh Ahmad dan Jamaludin menyampaikan penghargaan kepada Zanariah Kuting salah seorang anak peserta Felcra Berhad yang mendapat keputusan cemerlang dalam pendidikan.
DIVIDEN…Sapawi diperhatikan oleh Ahmad dan Ahmad menyampaikan replika cek dividen Felcra Berhad Ulu Sipitang bagi suku tahun 2011 kepada Ketua Peserta Sapawae Tussin (kiri) di majlis tersebut.

DIHARGAI…Sapawi diperhatikan oleh Ahmad menerima cenderakenangan daripada Jamaludin dimajlis tersebut

SIPITANG: Cabaran dan dugaan yang dihadapi ternyata mematangkan Felcra Berhad dalam membantu ahli-ahlinya menikmati kejayaan.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad berkata cabaran dan dugaan itu banyak memberikan pengajaran yang berguna “sekaligus ia membantu Felcra Berhad untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan.”

Berucap pada perasmian mesyuarat agung peserta Felcra Berhad Ulu Sipitang di sini kelmarin, Sapawi memberitahu sewaktu penubuhannya kira-kira lima tahun lalu, Felcra Berhad bergadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan.

Katanya hasil ketabahan dan kesediaan menghadapi cabaran serta dugaan itu, Felcra Berhad pada hari ini telah memperlihatkan keupayaan serta kemampuan yang membanggakan.

“Pencapaian Felcra Berhad pada hari ini dalam membantu membangunkan ekonomi rakyat sememangnya amat membanggakan…cabaran dan dugaan itu nyata mematangkan Felcra Berhad,” katanya lagi.

Beliau berkata Felcra Berhad telah memainkan peranan yang diharapkan oleh kerajaan iaitu membantu rakyat khususnya di luar bandar dalam pembangunan ekonomi.

Bukti yang jelas, katanya ialah keupayaan Felcra Berhad dalam memulihkan kawasan tanah terbiar seluas 383 hektar bagi kawasan Sipitang bagi penanaman kelapa sawit.

Felcra Berhad mula ditubuhkan di Sipitang pada tahun 1996 di mana Sapawi menyifatkan pihak pengurusan Felcra Berhad pada ketika ini telah mencapai kejayaan membanggakan.

Katanya pihak pengurusan Felcra Berhad telah melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan “dan hasilnya telah dinikmati oleh rakyat.”

Difahamkan peserta yang terlibat dengan penanaman kelapa sawit iaitu kawasan tanah seluas 383 hektar di Kampung Ulu Sipitang seramai 167 peserta telah menerima dividen RM1 juta bagi tahun 2011.

‘Ini menunjukkan struktur dan operasi pengurusan Felcra Berhad telah bertambah mantap selaras dengan transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan.” katanya lagi.

Sapawi memberitahu kerajaan sentiasa komited dalam membangun dan mengangkat ekonomi rakyat khususnya di kawasan luar bandar agar rakyat hidup terbela dan dalam keadaan sejahtera.

“Kita juga mahu rakyat terus menerus menyokong semua program dan usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan….jangan kita terkeliru dan tergoda dengan pembohongan serta retorik oleh anasir-anasir jahat dan khususnya pembangkang.

“Pembangkang hanya tahu mengkritik dan menindakkan apa jua program dan pembangunan yang dilaksanakan….namun tiada bukti yang pembangkang dapat melaksanakan apa yang yang mereka pertikaikan.” Katanya lagi.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Adun Sindumin Ahmad Bujang, Ketua bahagian Khidmat Pengurusan Felcra Berhad Sabah Jamaludin Razali, Pengurus Felcra Beaufort Mustapa Abdullah, Wakil Pegawai Daerah Sipitang Zulkefli Ahmad, Pemimpin Kemajuan Rakyat Sindumin Abdul Rahman Mohd Noh dan Ketua Pesrta Felcra Berhad Ulu Sipitang Sapawae Tussin.

Share |