Sunday, July 8, 2012

KRT Kampung Kukut, Padas Damit, Beaufort.

DIHARGAI…Sapawi menerima cenderakenangan daripada pengerusi penganjur merangkap Pengerusi KRT Kg. Kukut Zainal Abidin.
BAKAT TERPENDAM…Sapawi menyepak bola tanda sembolik perasmian pertandingan bola sepak sembilan sepasukan KRT Kampung Kukut, Padas Damit, Beaufort.
SUMBANGAN…Sapawi diperhatikan oleh Awang Anak menyampaikan sumbangan set jarsi, bola dan mesin rumput kepada pengerusi KRT Kampung Kukut Zainal Abidin.

KENANGAN…Sapawi merakamkan kenangan bersama kedua-dua pasukan sebelum sepak bola pertandingan tersebut.

PADAS DAMIT (Beaufort): Serius dan komited merupakan dua perkara yang perlu ada kepada mereka yang berhasrat menjadikan sukan sebagai kerjaya.

Ahli Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad berkata bidang sukan pada hari ini mampu mendatangkan hasil yang lumayan.

“Bidang sukan pada hari ini merupakan satu kerjaya yang dapat memberikan sumber pendapatan yang lumayan dan sudah ada atlit negara kita bergelar jutawan hanya menceburi bidang sukan,” katanya pada perasmian pertandingan bola sepak sembilan sepasukan di Kampung Kukut di sini kelmarin.

Bagaimanapun beliau berkata serius dan komited terhadap sukan yang diceburi perlu ada kepada individu yang mahu menjadikan sukan sebagai sumber pendapatan.

Katanya atlit yang bergelar jutawan memegang dua perkara tersebut selain mengamalkan dan mengutamakan disiplin diri dan sentiasa berusaha gigih.

Beliau memberitahu kerajaan sendiri amat menggalakkan khususnya golongan belia untuk menceburi bidang sukan.

Menurutnya sukan yang diceburi itu pula haruslah berasaskan kepada bakat dan potensi yang dimiliki.

“Sukan bola sepak diminati ramai dan ramai juga yang boleh bermain sukan itu namun hanya segelintir sahaja yang mempunyai potensi dan bakat yang boleh melangkah jauh,” katanya dan menambah bakat dan potensi itu pula sentiasda digilap dan dipertingkatkan.

Beliau berkata orang kampung juga boleh menjadi atlit yang cemerlang dan berjaya termasuklah dalam sukan bola sepak.

Katanya bakat dan potensi yang dimiliki perlu diperlihatkan menerusi pertandingan ataupun kejohanan yang diadakan.

“Peluang tetap sama…apa yang penting bakat dan potensi yang ada hendaklah diperlihatkan dan bukannya `ditapuk’ (disembunyikan),” katanya.

Sapawi berkata penyertaan dalam pertandingan atau kejohanan perlulah dipergunakan sebagai ruang dan peluang untuk memperlihatkan bakat serta potensi yang ada.

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) amat serius dalam membangunkan sukan dan sentiasa berusaha memastikan mereka khususnya golongan belia yang berbakat dan berpotensi tidak tercicir sebaliknya diberikan ruang serta peluang untuk digilap,” katanya lagi.

Begitupun Sapawi mengingatkan agar pasukan yang menyertai pertandingan itu tidak menjadikannya sebagai `medan peperangan’ dalam memburu kejuaraan tetapi menjadikannya sebagai medan mempertonjolkan bakat serta potensi pemain.

Majlis anjuran KRT Kampung Kukut, Padas Damit selama dua hari disertai oleh 22 pasukan turut dihadiri oleh Ketua Daerah Lumadan junli Yusuf, Pegawai Perpaduan Beaufort Awang Anak Abdul Sani, Timbalan Pengerusi Pengelola KRT Beaufort Ruslan Muharamm, Pegawai Perhubungan Ahli Parlimen Sipitang Matbali Musah dan Pengerusi Penganjur Merangkap Pengerusi KRT Kampung Kukut Zainal Abidin.



Share |